Anda di sini

Juragan terjun ke laut, elak ditangkap

 Juragan bot ini bertindak terjun ke laut sebelum sempat ditangkap oleh pihak penguatkuasa.
DITAHAN: Juragan bot ini bertindak terjun ke laut sebelum sempat ditangkap oleh pihak penguatkuasa.

SEMPORNA: Seorang juragan bot pam bertindak terjun ke laut untuk mengelak daripada ditangkap sebaik menyedari kehadiran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah Zon Maritim Semporna Komander (M) Norrimi Hassan berkata kejadian itu dilaporkan berlaku di perairan Pulau Bum-Bum di sini, kira-kira jam 3 petang, kelmarin.

“Bot peronda kita sedang menjalankan tugas rutin dan menahan bot ronda berkenaan selepas didapati bergerak dalam keadaan mencurigakan, namun juragan bot terjun ke laut.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui sebuah beg plastik, satu tong gas, dua enjin bot pam dan sembilan tong minyak petrol dalam bot pam terbabit,” katanya, di sini semalam.

Norrimi berkata nilai rampasan di dalam kes itu dianggarkan berjumlah RM5,000 dan kesemua barang-barang terbabit ditunda masuk ke Jeti Kem Azumi Semporna.

 APMM Semporna percaya petrol yang ditemui dari bot pam terbabit cuba diseludup ke negara jiran.
RAMPASAN: APMM Semporna percaya petrol yang ditemui dari bot pam terbabit cuba diseludup ke negara jiran.

Mengulas lanjut, suspek dipercayai cuba menjalankan aktiviti penyeludupan petrol bersubsidi dari negara ini melalui Semporna untuk dibawa keluar ke negara jiran.
 
“Penahanan kesemua barang rampasan terbabit dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan penguatkuasaan akan terus ditingkatkan dari masa ke semasa.

“Kita harap orang ramai terus bekerjasama dan menyalurkan maklumat menerusi talian Aduan Zon Maritim Semporna 089-782619 atau bantuan kecemasan MERS999,” katanya.