Anda di sini

1,000 peserta berkampung di Kuching

Advertisement
 (Dari tiga kanan) Ong, Hussin bersama jawatankuasa penganjur, pegawai SSC dan MSNS pada mesyuarat di Kuching semalam.
MESYUARAT: (Dari tiga kanan) Ong, Hussin bersama jawatankuasa penganjur, pegawai SSC dan MSNS pada mesyuarat di Kuching semalam.

KUCHING: Kira-kira 1,000 peserta dari 16 negara termasuk kelab di Malaysia dijangka turut serta pada Kuching Unity Karate Championship 2019 bakal berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini dari 17 hingga 20 Oktober ini.

Kejohanan dianjurkan oleh Kelab Asahi Karate Kuching dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan mempertandingkan 89 kategori.

Mesyuarat jawatankuasa penganjur dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee diadakan di Stadium Sarawak di sini semalam.

Ia bagi membincangkan persiapan akhir dan kelancaran penganjuran temasya berprestij dianjurkan dengan sokongan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

Presiden Kelab Asahi Karate Kuching, Sensei Hussin Osman berkata ia julung kalinya kelab dari Kuching menganjurkan kejohanan tersebut.

“Ini kali pertama kita menganjurkan kejohanan dan pada asalnya kita mahu menganjurkan Piala Dunia (WKF) namun memutuskan menganjurkan kejohanan berskala kecil dahulu,” katanya di sini semalam.

Hussin berkata, beliau yakin kejohanan itu akan menarik ramai penyertaan negara luar terutama dari Iran dan Pakistan yang pastinya mahu meletakkan temasya itu dalam kalendar aktiviti tahunan mereka.

Majlis makan malam dan perasmian kejohanan itu diadakan pada 17 Oktober ini.

Antara negara mengesahkan penyertaan ialah India, Nepal, Iran, Pakistan, Sri Lanka, Afganistan, Amerika Syarikat, Bangladesh, Taiwan, Filipina, Thailand, Vietnam, Hong Kong, Brunei, Indonesia dan Singapura.

Ia termasuk kelab tempatan dari Sabah (empat kelab), Johor, Perak, Kedah, Perlis, PDRM, Selangor dan Kuala Lumpur.

  • oleh
  • Advertisement