Anda di sini

YSG Silica S.B dan Sebangun S.B meterai MoU bagi industri silika

 Jamalul (dua kiri) dan henry (dua kanan) menandatangani MoU di Yayasan Sabah, semalam.
METERAI: Jamalul (dua kiri) dan henry (dua kanan) menandatangani MoU di Yayasan Sabah, semalam.

KOTA KINABALU: Yayasan Sabah menubuhkan anak syarikat, YSG Silica Sdn Bhd, untuk mengadakan usahasama dengan Syarikat Sebangun Sdn. Bhd, iaitu anak syarikat KTS Group.

Ia bagi membangunkan industri silika di Sabah meliputi kawasan seluas 2,418 hektar yang akan dibangunkan dalam tempoh 25 tahun.

Memorandum persefahaman (MoU) mengenainya ditandatangani oleh Pengarah Yayasan Sabah, Datuk  Haji Jamalul Kiram bin Datuk Haji Mohd. Zakaria dan Pengarah Urusan KTS Holding Sdn Bhd, Dato Henry Lau.

Ia disaksikan oleh Pemangku Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan Korporat (CBDD) Yayasan Sabah, Hj Budirman Daud dan Pengarah KTS Holding Sdn Bhd, Kenny Law.

Majlis berlangsung di Yayasan Sabah.

Menurut kenyataan KTS Group, YSG Silica memegang 60 peratus saham manakala Syarikat Sebangun memegang  40 peratus.

Sebagai permulaan, syarikat akan memulakan kerja eksplorasi dengan Sebangun bertanggungjawab bagi pelan pengurusan dan operasi perniagaan tersebut.

Sebangun terlibat dalam industri pemprosesan silika dan pasir sejak 1985 di Bintulu dan Marudi, Sarawak. Dengan pengalaman selama 35 tahun dalam industri berkenaan, Syarikat Sebangun mempunyai pakar serta jentera dalam bidang berkenaan.