Anda di sini

Tayangan perdana dunia ‘The Cave’ di festival Busan

Advertisement
 Gambar tidak bertarikh yang diperolehi daripada Busan International Film Festival (BIFF) di Busan pada 5 Oktober lepas menunjukkan satu babak dari filem ‘The Cave’. — Gambar BIFF / AFP
MENGUJAKAN: Gambar tidak bertarikh yang diperolehi daripada Busan International Film Festival (BIFF) di Busan pada 5 Oktober lepas menunjukkan satu babak dari filem ‘The Cave’. — Gambar BIFF / AFP

DARIPADA laluan yang dimasuki air dan diterangi lampu depan hingga kepada suara segera yang bergema pada dinding gua yang sempit, pengarah ‘The Cave’ – penceritaan semula yang pertama di atas skrin besar mengenai operasi menyelamat Thai itu – berjanji untuk menyerlahkan bahaya misi tersebut apabila ia mengadakan tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Busan.

“Tidak ada orang yang akan berkata, ‘Eh itu nampak seperti sebuah set’,” kata pembuat filem berbangsa Thai-Irish, Tom Waller, kepada AFP sebelum tayangan sulung diadakan pada Sabtu di festival filem terbesar Asia di Korea Selatan.

“Mereka yang mengalami klaustrofobia, amaran harus diberikan … anda mungkin akan rasa sedikit gelisah,” katanya sambil bergurau.

Misi pada 2018 untuk mengeluarkan 12 pemain bola sepak Thai yang muda dan jurulatih mereka – dikenali sebagai ‘Wild Boars’ – dari Gua Tham Luang di utara Thailand telah memukau orang ramai di seluruh dunia.

Selepas mereka merayu-rayau di dalam kompleks gua tersebut pada musim hujan, pasukan itu diperangkap oleh air banjir selama 18 hari sebelum mereka ditenangkan, dipasang dengan penutup muka, dan diheret menuju kebebasan dalam laluan sempit sejauh beberapa kilometer.

Cabaran Waller: untuk mencipta semula keadaan dalam persekitaran gelap dan lembap yang menjadikan usaha untuk menyelamatkan pasukan ‘Wild Boars’ begitu menakutkan dan luar biasa.

Untuk berbuat demikian, dia membuat penggambaran dalam gua-gua serupa sekitar Thailand dan menggunakan khidmat empat penyelam penyelamat terbabit untuk berlakon sebagai diri mereka sendiri.

“Kami terpaksa menangani ular, labah-labah yang amat besar,” kata Waller.

TOM WALLER
TOM WALLER

Filem itu akan ditayangkan di pawagam sebelum projek-projek lain yang lebih besar dengan pembiayaan yang lebih tinggi, dan dia harap festival ini akan memberi profail yang diperlukan oleh filem bebas untuk benar-benar bersifat global.

“Kami ditayangkan di Busan terlebih dahulu, ia menayangkan filem itu di atas pentas dunia,” kata Waller, yang menambah ia akan mengadakan tayangan sulung di Thailand pada November selepas satu jelajah festival.

Selera bagi kisah yang luar biasa itu masih kuat lebih setahun selepas operasi itu apabila beberapa buah syarikat mengeluarkan buku, pertunjukan dan dokumentari.

Dalam perancangan adalah satu penerbitan Netflix oleh penerbit ‘Crazy Rich Asians’ di mana pemain bola sepak yang diselamatkan dilaporkan menerima bayaran sebanyak AS$100,000 setiap seorang.

National Geographic turut menyertai persaingan dengan satu dokumentari daripada pasukan di sebalik filem yang memenangi anugerah Oscar ‘Free Solo’.

Namun filem Waller ada kelebihan kerana ia adalah yang pertama untuk ditayangkan, dan menggunakan pendekatan ‘cinema verite’.

Empat penyelam dari Kanada, China, Finland dan Belgium berlakon di dalam filem ini di bawah nama mereka yang sebenar, sama seperti seorang wartawan Ame-rika yang membuat liputan mengenai drama itu.

Penyelam Belgium yang berpangkalan di Ireland, Jim Warny, yang membantu menarik keluar jurulatih pasukan itu, berkata dia mengalami imbasan kembali ketika mereka melakonkan semula adegan itu.

Dan dia mahu filem itu memberi inspirasi kepada orang lain untuk memiliki impian yang besar.

“Saya takut dalam gua itu, saya selalu takut apabila saya menyelam dalam gua,” katanya.

“Saya menganggapnya sebagai satu kewajipan untuk menunjukkan kepada orang bahawa mereka dapat melakukan perkara yang menakjubkan walaupun keadaan begitu mencabar.” — AFP

Advertisement