Anda di sini

Tangani masalah stres

Advertisement
 Fatimah (dua kiri) ketika melawat mangsa di Hospital Sibu, semalam.
SENTUHAN KASIH: Fatimah (dua kiri) ketika melawat mangsa di Hospital Sibu, semalam.

SIBU: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah menyifatkan stres penyumbang kepada kes penderaan kanak-kanak.

Menurutnya, perasaan stres boleh menyebabkan ibu bapa melakukan sesuatu di luar jangkaan kerana hilang pertimbangan.

"Stres adalah disebabkan masalah dadah, kewangan dan sebagainya.

"Oleh itu, saya menasihati golongan belia 18 tahun ke atas, kalau berkahwin harus bersedia memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Terdahulu, Fatimah melawat seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang menjadi mangsa dera Selasa lalu di wad Hospital Sibu.

Turut mengiringinya Timbalan Pengarah Hospital Sibu Dr Mohd Ng Siah, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit serta pegawai agensi terbabit.

Jelasnya, banyak cara menangani masalah stres kerana sekarang pelbagai perkhidmatan talian bantuan disediakan membolehkan mereka merujuk masalah bagi mendapatkan nasihat.

Bagaimanapun beliau turut menzahirkan rasa sedih dan bersimpati terhadap mangsa.

“Keadaannya masih belum sedar setelah melalui pembedahan. Bagaimanapun, saya dimaklumkan keadaannya terus dipantau pihak hospital dengan rapi," ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu berkata, kes masih dalam siasatan dan polis dapat menyelesaikannya.

Dua suspek lelaki ditahan berhubung kes itu pada Sabtu lalu.

Bayi itu mengalami pendarahan dalam otak dan menjalani pembedahan di Hospital Sibu.

Pada pagi Selasa lalu, nenek mangsa yang berusia 47 tahun menyedari mangsa berada dalam keadaan lemah dan terdapat kesan kemerahan di dahi.

“Kementerian saya melindungi mangsa dan mencari jalan terbaik membantunya selepas keluar dari Hospital Sibu dalam usaha memastikannya mendapat penjagaan baik,” katanya.

Sementara itu, beliau mendedahkan berdasarkan statistik penderaan kanak-kanak atau penganiayaan kanak-kanak diperolehi daripada polis, Miri mencatat kes tertinggi tahun lalu dengan tujuh kes diikuti Sibu (dua kes).

Bagaimanapun katanya, Sibu merekodkan kes tertinggi pada tahun ini, tanpa mendedahkan bilangan kesnya.

  • oleh
  • Advertisement