Anda di sini

Serie A: Gol Higuain berikan kekalahan pertama buat Inter

Advertisement
 Reaksi Higuain selepas menjaringkan gol kedua Juve pada perlawanan Serie A Itali di San Siro, Milan kelmarin. — Gambar AFP
CERIA: Reaksi Higuain selepas menjaringkan gol kedua Juve pada perlawanan Serie A Itali di San Siro, Milan kelmarin. — Gambar AFP

MILAN, Itali: Gonzalo Higuain menjaringkan gol kemenangan 2-1 ketika Juventus memberikan kekalahan liga yang pertama buat Inter Milan dan melonjak ke tangga teratas Serie A Itali Ahad lepas.

Higuain, pemain gantian, menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-80 selepas Paulo Dybala membuka jaringan seawal minit keempat perlawanan di San Siro.

Lautaro Martinez mengikat kedudukan buat Inter dari satu tendangan penalti pada minit ke-18 tetapi jurulatih Inter, Antonio Conte, tewas pertemuan pertama dengan bekas kelabnya, Juventus sejak meninggalkan kelab untuk menjadi jurulatih kebangsaan Itali pada 2014.

Juventus kini berkelebihan satu mata di hadapan Inter selepas tujuh perlawanan ketika mereka memburu kejuaraan liga yang kesembilan berturut-turut dan kejuaraan pertama di bawah kendalian Maurizio Sarri.

“Merampas tangga teratas liga tidak begitu penting sekarang,” kata Sarri.

“Apa yang penting ialah kami menunjukkan satu karektor dan keazaman apabila menentang pasukan yang kuat. Kami selayaknya menang.”

Sarri menurunkan Dybala dan Federico Bernardeschi untuk bergandingan dengan Cristiano Ronaldo di jentera serangan.

Higuain – yang juga menjaringkan gol ketika Juventus menewaskan Bayer Leverkusen 3-0 dalam Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu – bermula di bangku simpanan.

Juventus bermula dengan memberangsangkan apabila Miralem Pjanic mengumpan bola kepada Dybala untuk gol pembukaan sebelum rembatan Ronaldo terkena palang dan kemudian satu lagi gol tidak dibenarkan pengadil selepas Dybala berkedudukan ofsaid ketika Juventus menguasai permainan.

Tetapi Inter mengikat kedudukan apabila bola terkena pemain pertahanan Juventus, Matthijs de Ligt, membolehkan Lautaro menewaskan penjaga gol Wojciech Szczesny.

Inter terjejas dengan kecederaan Stefano Sensi sementara Sarri melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Higuain dan Rodrigo Bentacur selepas satu jam permainan.

Ronaldo dan Bentancur bergandingan cantik sebelum mengumpan bola kepada Higuain untuk menjaringkan gol kemenangan.

“Juventus menunjukkan kekuatan sebenar mereka,” kata Conte, yang pernah membimbing Juventus memenangi tiga kejuaraan liga yang pertama mereka.

“Tahniah kepada mereka, kami sekarang perlu kembali bangkit,” tambah Conte, yang mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 1-2 kepada Barcelona dalam Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu.

Pada perlawanan lain, Atalanta meraikan kepulangan ke stadium dengan nama baharu, Stadium Gewiss dengan menewaskan Lecce 3-1 untuk mengekalkan pasukan di tangga ketiga liga dengan 16 mata.

Tetapi naib juara liga musim lepas, Napoli, kini ketinggalan enam mata di belakang Juventus di tangga keempat selepas seri tanpa jaringan di Torino.

AS Roma di tangga kelima satu mata di belakang Napoli selepas seri 1-1 dengan Cagliari di Stadio Olimpico.

Lazio juga seri tetapi dengan keputusan 2-2 di Bologna sementara Fiorentina mencipta kemenangan berturut-turut dengan menewaskan Udinese 1-0 menerusi gol Nikola Milenkovic pada minit ke-72. — AFP

Advertisement