Anda di sini

Program subsidi petrol bantuan tepat untuk golongan B40 - Dr Mahathir 

Advertisement
DR MAHATHIR
DR MAHATHIR

KUALA LUMPUR: Pemberian subsidi minyak melalui Program Subsidi Petrol (PSP) adalah langkah tepat oleh kerajaan dalam memberikan bantuan hanya kepada golongan B40 sahaja, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata ia bagi mengelakkan golongan yang tidak sepatutnya daripada menikmati subsidi minyak daripada kerajaan.

"Kita dapati setelah dikaji, ada mereka yang memiliki enam kereta yang mendapat nikmat subsidi minyak sebab itu kita beri cuma untuk satu kereta sahaja daripada golongan B40.

"Kita tidak boleh bagi subsidi kepada orang kaya dan kita lihat subsidi lama yang guna kereta mewah seperti Rolls-Royce pun dapat subsidi.

"Ini adalah bantuan tepat kepada mereka yang memerlukan bantuan, bukan mereka yang ada kereta mewah pun dapat subsidi minyak daripada kerajaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Dr Mahathir mengulas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam bahawa PSP yang dilaksanakan mulai 1 Januari 2020 bakal meringankan beban kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berkenderaan di Semenanjung Malaysia.

Subsidi RM30 sebulan akan diberi kepada pemilik kereta 1600cc dan ke bawah dan bagi kereta melebihi 1600cc, ia berumur 10 tahun dan ke atas manakala RM12 sebulan bagi pemilik motosikal 150cc dan ke bawah dan motosikal melebihi 150cc yang berumur tujuh tahun dan ke atas. Ia akan diberi secara tunai dan dikreditkan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali.

RON95 akan diapungkan di Semenanjung Malaysia bagi bukan penerima BSH di Semenanjung Malaysia dan harga kekal pada RM2.08 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan. 

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata kerajaan akan menimbangkan pilihan ‘opt-in dan opt-out’ bagi penerima subsidi bahan api bersasar.

"Saya mengalu-alukan sekiranya data tidak lengkap, ia bermakna jika orang lain merasakan mereka sepatutnya dimasukkan (sebagai penerima PSP), maka kami tiada masalah dan kami akan laksanakan opt-in dan opt-out," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.

Beliau menjawab soalan kenapa hanya penerima BSH yang layak untuk menerima skim subsidi bahan api bersasar.  

Ditanya kepada PSP tidak dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, beliau berkata: "Jumlah penggunaan petrol di sana agak rendah berbanding di Semenanjung." - Bernama 

Advertisement