Anda di sini

Pengurusan cekap membuahkan kecemerlangan

Advertisement
 Talib bersama Mohd Zaifulfadillah (kanan) dan Hussaini memotong kek sempena genap setahun kecemerlangan pengurusan baharu BiFA sambil disaksikan tetamu serta ahli jawatankuasa BiFA.
CEMERLANG: Talib bersama Mohd Zaifulfadillah (kanan) dan Hussaini memotong kek sempena genap setahun kecemerlangan pengurusan baharu BiFA sambil disaksikan tetamu serta ahli jawatankuasa BiFA.

BINTULU: Pengurusan organisasi dan sesebuah pasukan bola sepak yang baik serta cekap mampu membawa sesebuah pasukan dan pemain yang tidak hanya dapat mewakili bahagian ini ke peringkat negeri malah diketengahkan peringkat kebangsaan.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri(Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Jepak Datuk Talib Zulpilip berkata, penting sesebuah organisasi bola sepak dan pasukan dipimpin dengan cara yang betul kerana kejayaan sesebuah pasukan bukan hanya terletak pada pemain-pemain tetapi barisan kepimpinan yang berkaliber.

“Kalau betul kepimpinan, pemain akan maju kerana pandai macam mana sekali pun pemain sekiranya kepimpinan kucar-kacir pemain dalam sesebuah pasukan tidak akan dapat bermain dengan baik,” katanya pada Majlis Makan Malam Kejohanan Bola Sepak Liga Bintulu-LSC Piala Pusingan YB Datuk Talib Zulpilip di sini malam kelmarin.

Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) Mohd Zaifulfadillah Junaidi, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Jefry Lana serta tetamu lain.

Katanya, pengurusan yang tidak begitu baik dalam pasukan bola sepak terutamanya membabitkan pemain-pemain tidak akan mampu bertahan dalam saingan sesuatu kejohanan.

Beliau berkata, latihan tidak betul membabitkan pemain, cara pengurusan pemain serta kebajikan pemain tidak dijaga boleh menghalang sesebuah pasukan itu untuk maju dan berkembang.

“Justeru, dalam memimpin sebuah pasukan tidak hanya barisan kepimpinan bahkan pemain juga sebagai ahli sukan perlu memapar karektor baik, yang betul serta menjadi contoh kepada anak-anak muda lain supaya mereka dihormati dan disanjung tinggi sekali gus turut menuntut agar mereka menjaga nama dan standard yang ada,” jelasnya.

“Main dengan betul dan urus organisasi dengan baik, saya akan menyokongnya,” katanya sambil mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada BiFA serta akan berusaha mencari  lebih banyak dana untuk pembangunan dan memajukan bola sepak di Bintulu.

Talib turut berterima kasih kepada Lea Sports Centre (LSC) sebagai penaja menyokong kejohanan itu dan BiFA sebagai penganjur liga tersebut sekali gus berharap Bintulu dapat meraih kejuaraan pada Piala Sarawak pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Mohd Zaifulfadillah berkata pasukan-pasukan yang menyertai Liga Bintulu itu diharap menunjukkan semangat kesukanan tinggi serta kemahiran-kemahiran permainan yang mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berharap bakat-bakat yang ada di Bintulu juga akan dapat dibawa ke peringkat negeri bukan sahaja mewakili Bintulu bahkan mewakili negeri ini ke peringkat kebangsaan.

Katanya, dengan kejuaraan yang dimenangi Bintulu dalam Piala Sarawak pada tahun lepas(2018) beliau berharap kejuaraan sama dapat dipertahan dan dikekalkan pada piala yang sama pada masa akan datang.

  • oleh
  • Advertisement