Anda di sini

Masih awal untuk nyatakan kesan pengecualian PSP ke atas Sarawak - Abang Johari 

Advertisement

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata masih terlalu awal untuk menyatakan kesan pengecualian pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) di Sarawak ke atas rakyat dan negeri ini.

"Saya tidak boleh mengulas lanjut. Kita tidak boleh berbuat apa-apa, mereka (kerajaan pusat) tidak memberi kita subsidi, mereka memberi harga tetap, itu keputusan mereka.

"Jujur saya kata, saya tidak pasti adakah ia akan memberi manfaat kepada Sarawak atau sebaliknya, kita perlu tunggu sehingga program ini dilaksanakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Keterlibatan Perniagaan Bersama Ketua Menteri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Abang Johari ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Keterlibatan Perniagaan Bersama Ketua Menteri Sarawak di BCCK, hari ini. 
Abang Johari ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Keterlibatan Perniagaan Bersama Ketua Menteri Sarawak di BCCK, hari ini. 

Abang Johari menambah dengan pelaksanaan sistem penetapan harga bagi RON95, harga runcit bahan api tidak lagi fleksibel sebaliknya akan kekal pada RM2.08 seliter.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PSP hanya dikuat kuasa di Semenanjung sahaja yang bakal meringankan beban kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memiliki berkenderaan.

Jelasnya, rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan akan menikmati subsidi petrol secara pukal iaitu pada harga runcit semasa RM2.08 seliter setelah kerajaan mengambil kira keperluan yang kebanyakannya menggunakan kenderaan berkapasiti enjin besar dan diesel.

"Oleh itu, rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan dikecualikan daripada pelaksanaan PSP dan pengapungan harga jualan runcit petrol RON95," katanya dipetik dalam laporan Bernama pada sidang media mengenai PSP di Putrajaya Isnin.

Mengulas lanjut PSP, Saifuddin Nasution berkata, kadar subsidi adalah sebanyak RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan bagi motosikal.

Tambahnya, berikutan pelaksanaan PSP pada 1 Januari 2020, harga petrol RON95 akan diapungkan bermula serentak.

  • oleh
  • Advertisement