Anda di sini

Letupan gas CityONE: Subkontraktor mengaku tidak bersalah abai aspek keselamatan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lagi individu iaitu subkontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana mengabaikan aspek keselamatan sehingga menyebabkan kematian tiga pekerja dalam insiden letupan gas di CityONE Megamall pada 4 Disember tahun lepas. 

Chia Yit Siong, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Wilson Lee.

Hakim Marutin Pagan kemudian menjadualkan 1 November depan sebagai tarikh pengurusan kes selain membebaskan tertuduh dengan ikat jamin RM10,000 beserta dua penjamin tempatan yang beralamat di Kuching.

Yit Siong, seorang pengurus subkontraktor berusia 56 tahun didakwa di bawah Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

Individu berkenaan gagal memastikan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja memeriksa, membaiki dan pemasangan paip sehingga menyebabkan kemalangan maut ke atas orang lain.

Dia juga gagal menjalankan kewajipannya, terutamanya mengenai keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja bagi pekerjanya selain gagal mengadakan sistem kerja selamat.

Mengikut Seksyen itu, tertuduh bakal berhadapan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Setakat ini, sejumlah empat entiti didakwa bagi insiden letupan gas berkenaan iaitu CityOne Mc Sdn Bhd dan Borneo Landmark (M) Sdn. Bhd. yang masing-masing diwakili pengarahnya, Stephen Long Tine Chung; Pengurus Sin Nyen Electronic Electrikal dan seorang subkontraktor iaitu Chia Yit Siong. 

Namun, Hakim Marutin Pagan hari ini melepas tanpa membebaskan Borneo Landmark (M) Sdn. Bhd. daripada pertuduhan di bawah Seksyen 15(1) OSHA 1994.

Hal ini kerana pihak pendakwaan memerlukan lebih masa untuk menyiasat kes berkenaan.

Peguam J.B Singh dan Alvin Yong mewakili pengarah syarikat Cityone Mc Sdn. Bhd dan Borneo Landmark (M) Sdn. Bhd. 

Syarikat elektrikal itu pula diwakili peguam, Siew Chen Fui manakala subkontraktor itu diwakili peguam Voon Lee Shan.

Insiden letupan gas di CityONE Megamall tahun lepas berlaku akibat kebocoran gas dan menyebabkan tiga terkorban dan 41 cedera termasuk empat cedera parah dalam kejadian sekitar pukul 3.30 petang itu.

  • oleh
  • Advertisement