Anda di sini

Isteri lepas dan bebas tuduhan subahat bunuh pengurus bank di Sibu

Advertisement
Tertuduh tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.

KUCHING: Mahkamah Rayuan di sini hari ini, melepas dan membebaskan Ling Hang Tsyr daripada pertuduhan bersubahat membunuh suaminya, Wong Jing Kui, yang merupakan seorang pengurus bank di Sibu.

Sidang hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Suraya Othman dan Datuk Wira Kamaludin Md Said sebulat suara mengenepikan keputusan mahkamah terdahulu dan menerima rayuan wanita berusia 38 tahun itu.

"Tiada bukti langsung yang dapat mengaitkan tertuduh mempunyai niat dan bersekongkol dengan Andrew Tiong King Guan, 33, untuk membunuh Wong, seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

"Semua bukti hanya dikemukakan berdasarkan keterangan keadaan dan tiada bukti kukuh menunjukkan tertuduh merancang pembunuhan ini bersama Andrew," ujar Hakim Datuk Zabariah ketika memberikan keputusan sambil menambah, keterangan saksi juga tidak menampilkan fakta yang relevan untuk mengaitkan Hang Tsyr dengan pembunuhan tersebut.

"Justeru, pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh adalah tidak wajar dikemukakan terhadap perayu kes ini (Hang Tsyr)," ujar beliau lagi ketika memberikan keputusan mengenai kes terbabit.

Peguam Lim Heng Choo dan Roger Chin serta ayah Ling Hang Tsyr ketika bercakap dengan pemberita selepas prosiding Mahkamah Rayuan selesai. 
Peguam Lim Heng Choo dan Roger Chin serta ayah Ling Hang Tsyr ketika bercakap dengan pemberita selepas prosiding Mahkamah Rayuan selesai. 

Menurut peguam Ling Hang Tsyr iaitu Roger Chin dan Lim Heng Choo pula, anak guam mereka sudah meringkuk di penjara selama lebih kurang tujuh tahun. 

"Tiada motif bagi anak guam saya untuk membunuh suaminya sendiri. Malah dia juga tidak memperoleh faedah insurans selepas suaminya meninggal," ujar Roger ketika berucap kepada media di lobi Mahkamah Kuching.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail.

Turut kelihatan di Mahkamah Rayuan, ahli keluarga Wong serta peguam mereka, Christina Teng.

Hang Tsyr dan teman lelakinya, Tiong, didakwa membunuh suaminya tujuh tahun lepas di rumahnya di Jalan Ulu Sungai Merah pada 14 Jun 2012, pukul 1.30 pagi.

Law Boh Ing (ibu mangsa) ketika berada di lobi Mahkamah Kuching.
Ibu mangsa, Law Boh Ing ketika ditemui di lobi Mahkamah Kuching. Turut kelihatan abang mangsa, Wong Jing Hook dan kakak mangsa, Wong Hie Huong.

Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Datuk Norcahaya Arshad kemudian menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Hang Tsyr pada 27 Oktober 2017 selepas dia didapati bersalah serta bersubahat dalam pembunuhan tersebut.

Tiong bagaimanapun sehingga kini masih tidak dapat dikesan.

Justeru, keluarga mangsa menawarkan ganjaran wang tunai RM50,000 kepada orang ramai yang berjaya menemuinya atau bagi maklumat yang membawa kepada penangkapannya.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa bersubahat dengan seorang pembunuh upahan, juga pesalah utama, Ling Hoe Ing, 30.

Hoe Ing bagaimanapun didakwa di bawah tuduhan alternatif di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan menyebabkan kematian tanpa niat untuk membunuh.

Dia kemudiannya menjalani hukuman penjara 16 tahun selepas dia mengaku bersalah pada 1 Oktober 2013.

Laporan patologi mengesahkan bahawa Wong meninggal dunia akibat tikaman dan luka di dada, leher dan perut serta di kedua lengannya.

Menurut fakta kes, polis menemui mangsa di bilik tidurnya dan hanya isteri serta anak lelakinya berada di rumah ketika itu.

Anaknya yang berusia 10 tahun itu kini berada di bawah jagaan keluarga Hang Tsyr.

  • oleh
  • Advertisement