Anda di sini

Dua pemilik bertuah terima sebuah lagi hadiah Isuzu D-Max

Advertisement
 Pengurus Besar Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo menyerahkan hadiah kepada Sugumaran di bilik pameran Isuzu Jumbo Arena, di Kluang.
BERTUAH: Pengurus Besar Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo menyerahkan hadiah kepada Sugumaran di bilik pameran Isuzu Jumbo Arena, di Kluang.

PETALING JAYA: Dua pemilik Isuzu D-Max tidak hanya dapat menikmati kelebihan yang diberikan oleh kenderaan yang baru mereka beli, sebaliknya ada kejutan lain yang lebih manis menanti.

Mereka turut diumumkan sebagai pemenang bagi peraduan ‘Isuzu D-Max Buy and Win’ yang menawarkan habuan sebuah lagi Isuzu D-Max 2.5 Auto 4x4.

Peraduan yang diadakan sempena sambutan Hari Raya dan Hari Gawai tahun ini menyaksikan Ghanie Entalang dari Sebauh, Sarawak dan Sugumaran A/L Nagappan dipilih sebagai pemenang peraduan berkenaan melalui pembelian kenderaan Isuzu baharu mereka yang dibuat antara bulan April dan Jun lalu.

Ghanie pada awalnya berasa ragu-ragu dengan panggilan yang diterima untuk memaklumkan dirinya dipilih sebagai pemenang, dan hanya ketawa.

“Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah panggilan itu adalah penipuan semata-mata. Hanya selepas mendengar penjelasan lanjut daripada pengedar barulah saya sedar bahawa beliau tidak main-main dan berasa sangat terkejut.

“Saya teringat memang ada mengisi borang peraduan ketika membuat pembelian kenderaan baharu sebelum itu. Saya terlalu gembira mendengar berita ini sampai tak boleh tidur malam,” katanya.

Sugumaran juga berkongsi cerita yang sama, beliau sangat terkejut ketika diumumkan sebagai pemenang kerana tidak pernah menyangka penyertaannya akan dipilih.

“Saya ingat ia hanya cabutan bertuah biasa dengan hadiah yang kecil. Ketika saya menerima panggilan daripada pengedar, saya agak terkejut dan terfikir itu mungkin hanya jenaka.

“Tetapi kemudian, saya menerima panggilan dari ibu pejabat Isuzu yang mengesahkan bahawa saya memenangi sebuah lagi kenderaan. Saya sangat teruja,” jelas Sugumaran yang menguruskan perniagaan trak dan meluangkan banyak masa sebagai pegawai keselamatan yang melawat ladang-ladang kelapa sawit.

 Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki menyerahkan hadiah yang dimenangi Ghanie di bilik pameran Isuzu KM Mobil di Bintulu.
TAHNIAH: Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki menyerahkan hadiah yang dimenangi Ghanie di bilik pameran Isuzu KM Mobil di Bintulu.

Beliau mengunjungi satu atau dua ladang dalam sehari dan pernah menggunakan dua trak pikap lain sebelum ini.

“Saya merancang untuk bersara, tetapi cepat berasa bosan dan mengambil keputusan untuk teruskan perniagaan dan sedang mencari trak pikap baharu. Saya tidak ada sebarang pengalaman dengan trak Isuzu, tetapi suka dengan penampilan dan bentuknya serta harga yang munasabah dan mengambil keputusan untuk membelinya.

“Saya perlu katakan, selepas empat bulan menggunakannya, saya sangat hargai penjimatan bahan api yang diberikan oleh trak Isuzu ini. Bagi saya, itu perkara yang paling mengagumkan tentang trak ini. Kestabilan dan keteguhannya juga sangat saya nikmati, baik ketika di laluan dalam kawasan ladang mahupun di lebuh raya, Isuzu D-Max selalu membuatkan saya berasa yakin,” tambah Sugumaran, 56, yang berasal dari Seremban.

Lain pula ceritanya dengan Ghanie, yang sebelum ini sudah agak biasa dengan trak Isuzu D-Max walaupun sebelum membelinya sendiri.

“Beberapa saudara-mara saya di Sebauh memang memiliki Isuzu D-Max dan saya melihatnya sebagai sebuah kenderaan 4x4 yang sangat berkebolehan, baik di atas jalan ataupun ‘off-road’.

“Isuzu D-Max menjadi pengangkutan utama bagi keluarga saya. Kecekapan minyak yang diberikan pula sangat mengagumkan, begitu juga dengan prestasi yang sangat baik dalam apa juga keadaan, termasuk di kawasan berbukit di tempat saya menetap,” tambah Ghanie, yang tinggal bersama keluarganya di rumah panjang Jabris Naong, 60km dari Bintulu.

Memandangkan beliau sudah membeli sebuah Isuzu D-Max, Ghanie bercadang untuk memberikan unit yang diterima sebagai hadiah kepada bapanya bagi memudahkan pergerakan dari kampung ke bandar.

“Isuzu D-Max ini menjadi sesuatu yang sangat bermakna kepada keluarga saya memandangkan kami perlu kerap menempuh perjalanan jauh dari kampung untuk ke Bintulu. Permukaan jalan pula tidak terduga, jadi ia akan menjamin keselesaan dan keselamatan kami sepanjang perjalanan,” katanya.

Advertisement