Anda di sini

AS tarik balik tentera dari utara Syria

Advertisement
 Penduduk Kurdis Syria mengerumuni sebuah kereta perisai tentera AS semasa mengadakan demonstrasi mengecam ancaman Turki berdekatan pangkalan tentera pakatan antarabangsa diketuai AS di pinggir bandar Ras al-Ain dalam wilayah Hasakeh dekat sempadan dengan Turki, semalam. — Gambar AFP
SITUASI BAHARU: Penduduk Kurdis Syria mengerumuni sebuah kereta perisai tentera AS semasa mengadakan demonstrasi mengecam ancaman Turki berdekatan pangkalan tentera pakatan antarabangsa diketuai AS di pinggir bandar Ras al-Ain dalam wilayah Hasakeh dekat sempadan dengan Turki, semalam. — Gambar AFP

WASHINGTON: Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) di utara Syria tidak lagi berada dekat sempadan dengan Turki, mahupun membantu operasi yang lama dirancangkan oleh Ankara terhadap negara itu, menurut pihak Rumah Putih kelmarin.

“Turki tidak lama lagi akan meneruskan operasi yang lama dirancangkan ke Syria Utara.

“Pasukan Tentera  AS tidak akan membantu atau terlibat dalam operasi kerana telah mengalahkan wilayah Khalifah ISIS dan tidak lagi akan berada di kawasan berkenaan,” menurut pihak Rumah Putih, menggunakan nama singkatan lain bagi kumpulan Islamic State (IS).

Kenyataan yang dibuat selepas panggilan telefon di antara Presiden AS Donald Trump dengan rakan sejawatannya Recep Tayyip Erdogan dari Turki, turut mengkritik  “Perancis, Jerman dan negara Eropah lain sebagai tidak menuntut semula rakyat mereka yang ditahan di utara Syria yang telah menyertai IS.

“Turki sekarang akan bertanggungjawab terhadap semua pejuang ISIS di kawasan yang ditawan sepanjang dua tahun lepas dalam kemunculan kejatuhan wilayah Khalifah oleh AS,” menurut kenyataan tersebut.

Awal kelmarin, Erdogan dan Trump telah bersetuju untuk bertemu di Washington pada bulan depan bagi membincangkan tentang pembentukan ‘zon selamat’ di utara Syria, menurut pihak presiden Turki.

Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai penubuhan zon keselamatan di Syria.

Mewujudkan zon keselamatan penting untuk menghapuskan ancaman oleh Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan Unit Perlindungan Rakyat (YPG), selain dapat memastikan pelarian Syria dapat pulang ke negara dengan selamat, kata Erdogan.

Tambah Erdogan, Turki bertekad untuk terus memerangi Daesh di Syria dan mengambil segala langkah perlu bagi mengelakkan masalah sama berlaku lagi di rantau ini.

Pada 7 Ogos, pegawai Turki dan AS bersetuju mewujudkan zon keselamatan dan membangunkan ‘koridor keamanan’ di utara Syria dan perjanjian itu membayangkan YPG akan berundur.

Namun, Ankara tidak berpuas hati dengan kelewatan pengunduran YPG, memandangkan Amerika Syarikat (AS) dilihat terus membekalkan senjata kepada pemberontak Kurdistan. Turki juga mahu menubuhkan pangkalan tentera di zon selamat.

Erdogan baru-baru ini memberi amaran Turki akan mengambil tindakan ketenteraan sepihak  andai AS gagal memenuhi syarat perjanjian zon selamat.

Washington sebelum ini telah cuba untuk menghentikan sebarang operasi Turki terhadap militia Kurdis Syria yang dibantunya yang dilihat Ankara sebagai sebuah kumpulan cawangan pengganas militan Kurdis di Turki.

AS telah bekerjasama dengan militia Unit Perlindungan Rakyat (YPG) bagi menawan semula beberapa kawasan yang dibentuk pejuang IS. — AFP

Advertisement