Anda di sini

Peniaga didenda RM3,500, miliki keluaran tidak berdaftar, bernotifikasi

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang peniaga wanita dikenakan denda RM3,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas kesalahan memiliki keluaran tidak berdaftar dan bernotifikasi.

Hakim Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap Hasdoreen Yinggum, 31, yang tidak diwakili peguam selepas mengaku salah.

Beliau menyatakan kesalahan tertuduh adalah serius, kerana membahayakan kesihatan orang awam dan menasihatkan supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa hadapan.

Bagi memiliki sebanyak 17 jenis keluaran tidak berdaftar, tertuduh dikenakan penjara RM2,500 atau penjara dua bulan.

Sementara untuk kesalahan memiliki dua jenis keluaran kosmetik tidak bernotifikasi, tertuduh didenda RM1,000 atau penjara sebulan.

Kedua-dua kesalahan itu didapati dilakukan pada 20 September tahun lalu di sebuah premis, Sedco, daerah Ranau.

Pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 7 (1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, dihukum mengikut Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah.

Hukuman yang diperuntukkan, denda maksimum RM25,000 atau penjara selama tempoh tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kedua, tertuduh disabitkan mengikut Peraturan 18 A (1)(a) peraturan sama memperuntukkan hukuman yang sama.

Semasa rayuan, Hasdoreen memohon jumlah dendanya dikurangkan dan menyatakan suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap.

" Kami menanggung anak yang ramai dan wang yang ada sekarang ini pun kami pinjam. Kedai terbabit masih beroperasi tetapi keuntungan sedikit," katanya dengan nada sebak.

Namun pihak Pendakwaan dari Jabatan Farmasi meminta hukuman yang setimpal dikenakan dan menyatakan, sesuatu produk harus diuji dahulu sebelum didaftarkan.

  • oleh
  • Advertisement