Anda di sini

‘Movie Boccia’ diinspirasikan dari perlawanan persahabatan

Advertisement
 

PERLAWANAN persahabatan boccia antara Malaysia dan Indonesia pada April tahun lepas memberi inspirasi kepada pembuat filem dan pengarah Natalia Tjahja untuk menghasilkan dokumentari ‘Movie Boccia’.

“Saya tersentuh dan bermotivasi selepas menonton para pemain boccia bersaing dalam perlawanan persahabatan.

“Dengan ketidakupayaan fizikal, perjuangan dan keazaman mereka untuk bertanding memberikan saya ilham untuk membuat ‘Movie Boccia’ bagi meningkatkan kesedaran terhadap sukan ini serta mewujudkan harapan untuk belia kurang upaya di seluruh dunia,” katanya kepada Bernama.

Natalia yang tidak tahu langsung mengenai boccia berkata, beliau kemudian diperkenalkan oleh pengurus pasukan boccia Malaysia bagi Sukan Para Tunku Maziah Tunku Mukhtar pada 2017, mengenai sukan itu.

Pengasas Maria Monique Lastwish Foundation itu berkata atlet boccia negara, Lean Chin Kit (Boccia BC1), Lee Chee Hong (Boccia BC2) dan Mohammed Syafiq Mohammed Noh (Boccia BC 2) turut muncul dalam filem itu.

Boccia adalah sukan seakan-akan boling padang yang dimainkan oleh atlet kurang upaya fizikal.

Filem dengan sifar bajet itu memaparkan atlet para yang menghidap cerebral palsy, distrofi otot dan ketidakupayaan berkaitan dari 10 negara - China, Chinese Taipei, India, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Filipina, Thailand dan Singapura - berkongsi kisah, keazaman dan perjuangan mereka untuk menyertai pertandingan boccia.

‘Movie Boccia’ juga memaparkan semangat atlet boccia untuk terus maju secara fizikal dan mental ketika menyertai sesuatu pertandingan. Satu daripada kisah hebat dalam filem ini adalah mengenai pemain boccia dari Singapura, Neo Kah Whye yang mengambil 14 biji ubat penahan sakit setiap hari untuk bermain boccia.

Tayangan pertama ‘Movie Boccia’ itu adalah di Jakarta, Indonesia pada 16 Mei lepas, kemudian di Jogjakarta, Indonesia dan Bangkok, Thailand.

Filem dokumentari ini dijadual akan ditayangkan di Malaysia pada November ini.

“Saya mahu dunia tahu apa itu boccia dan semangat para pemain untuk bermain sukan ini. Ia membawa kegembiraan dan kebahagiaan buat mereka selain mengubah kehidupan mereka,” katanya.

Natalia berharap dokumentari itu akan menggalakkan ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya menyertai bidang sukan seperti boccia.

“Jangan sembunyikan mereka tetapi dedahkan mereka dengan boccia.

“Presiden Jawatankuasa Paralimpik Thailand Chutinat Bhirombhakdi pernah berkata bahawa sukan boleh mengubah diri menjadi lebih baik, kepada golongan kurang upaya, saya memohon anda menyertai sukan ini,” katanya.

Boccia yang dipertandingkan dalam Sukan Paralimpik sejak 1984, kebanyakannya dimainkan oleh atlet dengan kecacatan teruk yang mempengaruhi kemahiran motor dengan melontarkan bola berwarna sedekat yang boleh ke bola sasaran putih.

Permainan ini dimainkan di permukaan yang rata, licin, di gelanggang bersaiz gelanggang badminton yang mana pemain akan melontarkan bola berwarna menggunakan tangan, kaki atau alat bantuan seperti ‘head pointer’ (bergantung kepada ketidakupayaan pemain) untuk melepaskan bola.

Sementara itu, isteri Duta Besar Indonesia di Thailand Anita Rusdi berkata ‘Movie Boccia’ adalah suara pemain boccia dan berharap orang ramai di seluruh dunia dapat mendengarnya.

Beliau berharap filem ini akan menggalakkan dan memperkasakan atlet berkeperluan khas menyertai sukan serta mendidik masyarakat supaya menyediakan lebih banyak akses dan empati kepada golongan kurang upaya. — Bernama

Advertisement