Anda di sini

Belanjawan 2020 pemacu utama prestasi ringgit minggu ini

KUALA LUMPUR: Belanjawan  2020 yang akan dibentangkan pada Jumaat depan akan menjadi pemacu utama prestasi ringgit pada minggu ini, kata seorang penganalisis pasaran.

Penganalisis pasaran FXTM Han Tan berkata pelabur akan melihat kepada sebarang rangsangan fiskal yang dapat menangani cabaran ekonomi luar serta unjuran kerajaan untuk defisit fiskal pada tahun depan.

“Ringgit mungkin memberi tindak balas positif terhadap dasar-dasar yang dapat meningkatkan permintaan domestik, mengambil kira data import baru-baru ini yang menunjukkan penurunan tahun ke tahun untuk penggunaan dan modal barangan bagi tempoh tiga bulan berturut-turut sehingga Ogos,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat luar, pasaran turut memberi tumpuan kepada perbincangan perdagangan akan datang antara Amerika Syarikat (AS) dan China pada minggu ini yang akan menentukan hala tuju minat untuk mengambil risiko bagi baki 2019.

“Tajuk-tajuk akhbar menunjukkan kedua-dua pihak semakin hampir untuk mencapai persetujuan perdagangan yang akan menggalakkan sentimen pasaran dan memacu minat untuk mengambil risiko terhadap aset dalam waktu terdekat,” katanya.

Wakil Perdagangan AS Robert Lighthizer akan mengadakan pertemuan dengan Naib Perdana Menteri China Liu He pada 10 Okt untuk membincangkan dengan lebih lanjut isu perdagangan yang menyelubungi dua ekonomi terbesar dunia itu.

Pada minggu ini, Han berkata ringgit mungkin menguji paras rintangan pada USD/MYR 4.20, manakala dolar yang terus menyederhana akan mendorong kedua-dua mata wang itu ke paras sokongan 4.16.

Bagi minggu yang baru berakhir, mata wang tempatan diniagakan rendah sepanjang minggu, terutamanya dipengaruhi ketidakpastian perbincangan perdagangan AS-China, data perkhidmatan AS  lebih lemah yang telah mencetuskan kebimbangan akan berlaku kemelesetan, kemungkinan penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan AS serta pembentangan Belanjawan 2020 pada minggu ini.

Ringgit mengakhiri urus niaga pada minggu ini pada paras lebih tinggi  4.1840/1870 berbanding dolar AS daripada 4.1860/1900 pada Jumaat minggu lepas.

Mata wang tempatan, bagaimanapun diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0332/0363 daripada 3.0292/0325, turun berbanding euro kepada 4.5928/5977 daripada 4.5732/5793, dan susut berbanding pound kepada 5.1631/1680  daripada 5.1433/1499.

Berbanding yen, ringgit turun kepada 3.9194/9230 daripada 3.8774/8818 sebelumnya. — Bernama