Anda di sini

Bangun kraf tangan

Advertisement
 Abdul Karim merakam kenangan bersama penaja pada Majlis Makan Malam Gala BIBCO 2019 di Kuching, malam kelmarin. Turut kelihatan Hii (empat kanan) dan Heidi (lima kiri).
UNTUK ALBUM: Abdul Karim merakam kenangan bersama penaja pada Majlis Makan Malam Gala BIBCO 2019 di Kuching, malam kelmarin. Turut kelihatan Hii (empat kanan) dan Heidi (lima kiri).

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan komited untuk terus membangunkan industri pembuatan kraf tangan negeri ini.

Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia bagi membolehkan pengusaha kraf tangan termasuk pembuat manik memperoleh pendapatan yang lebih baik daripada hasil ciptaan mereka.

“Kita mempunyai kira-kira 1,500 orang Sarawak menghasilkan kraf tangan untuk dijual dan sebahagian besar daripada jumlah itu terdiri daripada pembuat atau tukang manik.

“Justeru, kementerian saya bersama Majlis Kraftangan Sarawak akan terus membantu mempromosikan pembangunan industri pembuatan kraf tangan tempatan termasuk manik ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Persidangan Manik Borneo Antarabangsa (BIBCO) 2019 dan Pertunjukan Fesyen di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin (Sabtu).

Abdul Karim menambah, industri pembuatan kraf tangan dan manik sememangnya mempunyai potensi besar dan kerana itu, Kerajaan Sarawak menyokong penuh usaha BIBCO selama ini.

Sarawak katanya, telah menerima lebih empat juta pelawat setiap tahun dan kebanyakan mereka datang ke sini disebabkan tarikan karya dan produk manik tempatan kita.

Sehubungan itu, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengelola atas penganjuran BIBCO pada tahun ini.

“Kita amat menyokong penganjuran BIBCO yang telah mendapat tempat sebagai antara persidangan manik teratas di dunia sejak penubuhannya pada tahun 2010,” katanya.

Sekarang BIBCO memasuki edisi keenam dan beliau gembira dimaklumkan bahawa acara tahun ini telah membawa beberapa tokoh terkemuka dalam industri pembuatan manik dari seluruh dunia untuk datang ke Sarawak.

“Malahan kita amat gembira persidangan seumpama ini memberi peluang kepada kita berkongsi dan mempelajari budaya serta sejarah, kecantikan dan selok-belok dunia manik,” tambah Abdul Karim

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Hii Chang Kee dan Pengarah BIBCO Heidi Munan.

  • oleh
  • Advertisement