Anda di sini

WKB2030 sasar KDNK RM3.4 trilion

Advertisement
 Dr Mahathir ketika sidang media selepas melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri), Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri), Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua kanan) dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin (kanan). — Gambar Bernama
JAWAB PERTANYAAN: Dr Mahathir ketika sidang media selepas melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri), Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri), Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua kanan) dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin (kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM3.4 trilion menjelang 2030 dengan purata kadar pertumbuhan 4.7 peratus setahun dalam tempoh 10 tahun menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata angka tersebut hanya diletak sebagai sasaran kerajaan dan tidak akan membuktikan kekayaan negara dan rakyatnya semata-mata.

Ini kerana keutamaan kerajaan adalah lebih kepada memastikan rakyat mempunyai kuasa beli yang tinggi seiring dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, katanya.

“Ada negara yang bayar (pendapatan) tinggi berbilion tetapi daya membeli (rakyat) sangat rendah sebab itu kita berjaga-jaga dalam mempertingkatkan pendapatan kerana setiap kali kita naikkan gaji atau bayaran-bayaran lain, kos sara hidup (juga) akan naik.

“Kali ini kita mahu tingkatkan pendapatan disusuli dengan peningkatan kuasa membeli (kerana) keupayaan membeli lebih utama dari jumlah (pendapatan) diberi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan WKB2030 di sini, semalam.

Selain itu, Dr Mahathir percaya WKB2030 mampu merealisasikan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera, yang masih lagi belum tercapai seperti yang ditetapkan dalam Dasar Ekonomi Baru.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Bumiputera perlu tampil berdaya maju dan menyambut segala peluang yang disediakan oleh kerajaan bagi mencapai matlamat WKB2030.

Katanya Bumiputera perlu menangkis sikap malas dan memilih pekerjaan agar peluang yang disediakan tidak direbut oleh orang lain, terutamanya pendatang asing yang rela bekerja walaupun pekerjaan tersebut dianggap berat, bahaya dan kotor oleh rakyat tempatan.

“Kita sediakan peluang pekerjaan tapi mereka tidak mahu bekerja, kita nak beri mereka belajar di universiti tetapi mereka tidak minat belajar.

“Kita reka cara untuk mencapai (matlamat) tetapi orang yang nak menjayakan ini ialah mereka yang menjadi (kumpulan) sasaran. Kalau mereka tidak sambut, maka sukarlah bagi kita untuk capai matlamat,” jelas perdana menteri.

Ditanya mengenai usaha kerajaan meningkatkan kecekapan sistem percukaian negara, Dr Mahathir berkata kerajaan mungkin perkenalkan beberapa cukai baharu tetapi memberi jaminan cukai tersebut tidak akan membebankan rakyat.

“Sistem (cukai SST (jualan dan perkhidmatan)) ini dulu tidak dikenakan dengan cara yang tertib, tersusun dan banyak orang yang terlepas daripada membayar cukai. (Cukai) ini akan diperkemaskan lagi.

“Kita juga mungkin terpaksa memperkenalkan cukai-cukai baharu yang tidak terlalu membebankan rakyat,” tambah beliau. — Bernama

Advertisement