Anda di sini

WKB2030 mampu jadikan Malaysia Harimau Asia baharu

Advertisement
 Tun Dr Mahathir melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 semalam. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua kanan), Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri). — Gambar Benama
PELANCARAN: Tun Dr Mahathir melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 semalam. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua kanan), Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri). — Gambar Benama

KUALA LUMPUR: Dalam menyusun semula keutamaan pembangunan negara, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 mampu meletakkan Malaysia sebagai Harimau Asia yang baharu dan menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat menjelang 2030, kata Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Perdana Menteri berkata, ia memberi nilai yang lebih tinggi kepada ekonomi negara dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang kompetitif, berintegriti dan bermaruah.

“Melalui cara itu Malaysia akan mengembalikan kepercayaan kepada pasaran dan pelabur dan mampu meletakkan Malaysia sebagai Harimau Asia yang baharu,” katanya ketika melancarkan wawasan itu di sini.

Dr Mahathir, yang menyifatkan WKB2030 adalah amanah generasi sekarang dan hadiah dan milik anak cucu pada masa hadapan, akan membawa pertumbuhan yang lebih saksama untuk negara.

Beliau berkata, wawasan itu yang menjadi kerangka halatuju negara bagi tempoh 2021 hingga 2030 adalah usaha melahirkan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah.

Ia juga bagi rantaian bekalan sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam  kalangan rakyat menjelang 2030, katanya.

Perdana Menteri berkata, penyediaan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat menjelang 2030 itu juga selaras dengan matlamat yang didukung oleh United Nations Agenda 2030 untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan.

“Ia pendekatan pembangunan inklusif yang tidak akan meminggirkan sesiapa pun di bawah prinsip tidak seorang pun tercicir,” katanya.

“Terdapat tiga objektif yang ingin dicapai melalui Wawasan Kemakmuran Bersama iaitu pembangunan untuk semua; menangani jurang kekayaan dan pendapatan; dan negara yang bersatu, makmur dan bermaruah,” kata Dr Mahathir

Beliau berkata, Malaysia menginginkan kemakmuran yang berterusan iaitu mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan serta mampu menyerap sebarang perubahan negatif dari segi penawaran dan permintaan serta ketidaktentuan ekonomi global.

Antara prinsip panduan utama adalah untuk memastikan Kesaksamaan Keberhasilan iaitu strategi ekonomi yang menjamin keberhasilan sesuatu inisiatif dapat dinikmati oleh kumpulan dan individu secara saksama, katanya.

Ini, katanya, mengambil kira kekangan terhadap pencapaian kumpulan dan individu itu yang mungkin disebabkan oleh perbezaan latar belakang ekonomi dan persekitaran.

“Kumpulan masyarakat yang lemah dan kurang berkemampuan akan diberikan bantuan dan keistimewaan tertentu supaya mereka dapat bersaing secara adil dengan kumpulan masya-rakat yang lebih bernasib baik, demi mencapai keberhasilan yang saksama,” katanya.

Dr Mahathir berkata, prinsip-prinsip panduan wawasan itu antaranya merangkumi aspek sosial, ekonomi, integriti dan tadbir urus bagi menjadikan Malaysia sebagai paksi ekonomi Asia.

Dalam menjayakan inisiatif Wawasan Kemakmuran, tujuh teras strategik dibangunkan termasuk tumpuan struktur semula ekosistem perniagaan dan industri supaya mampu beradaptasi dengan ekonomi masa hadapan dan penghasilan nilai secara lebih berkesan.

Ia juga menyasarkan Malaysia tidak lagi hanya menjadi negara pengguna tetapi menjadi negara pencipta, pengeluar, pembekal dan penyedia perkhidmatan kepada ekonomi masa hadapan yang lebih kompetitif.

Teras strategik kesejahte-raan sosial menekankan persoalan kesejahteraan terutama kepada golongan B40, miskin tegar, rentan ekonomi, masyarakat terpinggir dan terpencil dan mereka dalam transisi ekonomi.

“Polisi kebajikan harus bertukar dari amalan dan penumpuan kepada pemberian tunai kepada program pembangunan dan latihan untuk mengeluarkan kelompok ini dari kemiskinan,” katanya yang menambah kata bahawa WKB2030 adalah kelangsungan kepada wawasan yang terdahulu.

WKB2030 akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2021 dengan dimulakan seiring dengan Belanjawan yang akan dibentangkan minggu hadapan dan dilaksanakan sepenuhnya dalam Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13.

Dr Mahathir berkata, indikator sosial seperti perpaduan, integriti, keharmonian agama, kualiti alam sekitar dan kesedaran perubahan iklim, keharmonian agama, pengukuhan institusi kekeluargaan dan kejiranan, pencegahan rasuah, jenayah dan dadah harus menampakkan keberhasilan.

Mengenai penyebaran khabar palsu kononnya kerajaan Pakatan Harapan mahupun WKB2030  mengetepikan hak dan masa hadapan Bumiputera dengan menyamaratakan semua peluang dan meliberalisasikan semua sektor, Perdana Menteri berkata kerajaan memahami masyarakat Bumiputera masih ketinggalan dalam banyak perkara.

“Kemakmuran Bersama bermaksud masyarakat Bumiputera tidak ditinggalkan dan perlu dibangunkan supaya lebih kompetitif serta boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan etnik yang lain,” katanya.

Dalam waktu yang sama, katanya, Bumiputera tidak harus hanya menunggu bantuan dan sokongan kerajaan semata-mata.

“Apabila kita faham kita ketinggalan, kita harus sedar untuk lari dengan lebih laju untuk mengejar mereka yang di hadapan,” katanya.

Beliau mengajak seluruh rakyat agar bersama-sama merealisasikan, menggembleng tenaga menghayati matlamat dan hasrat wawasan itu.

“Wawasan Kemakmuran Bersama hendaklah dinilai berdasarkan keberhasilan bagi setiap menteri, kementerian, agensi seterusnya kepada pelbagai institusi ke-rajaan dan swasta,” katanya. — Bernama

Advertisement