Anda di sini

Hakim Mahkamah Agung Mexico letak jawatan berhubung urus niaga bank yang mencurigakan

Advertisement
MORA
MORA

KOTA MEXICO: Hakim Mahkamah Agung Mexico Eduardo Medina Mora meletak jawatan pada Khamis ketika siasatan sedang dijalankan ke atas dakwaan bahawa beliau memindahkan jutaan dolar ke dalam akaun-akaun bank di Britain dan Amerika Syarikat (AS).

“Pejabat Presiden Republik mengesahkan Presiden (Andres Manuel) Lopez Obrador menerima peletakan jawatan Hakim Eduardo Medina Mora dan akan mengemukakannya kepada Senat untuk analisis mereka,” kata seorang jurucakap kerajaan tanpa mengulas lanjut.

Menurut perlembagaan Mexico, peletakan jawatan hakim Mahkamah Agung dikemukakan kepada presiden, dan jika diterima, dihantar ke Senat.

Undang-undang itu menyebut hakim sedemikian hanya boleh meletak jawatan atas “sebab-sebab yang serius”.

Medina Mora, 62, dilantik ke jawatannya pada 2015 oleh presiden ketika itu Enrique Pena Nieto bagi tempoh selama 15 tahun.

Pada Jun lalu, media Me-xico melaporkan Medina Mora disyaki melakukan pemindahan sebanyak 103 juta peso (RM21.8 juta) ke akaun-akaun bank di AS dan Britain yang tidak dilaporkan dalam deklarasi kewangannya.

Menteri kewangan membuka siasatan, dan Medina Mora telah menyatakan pemindahan itu hanya membabitkan jumlah 7.5 juta peso (RM1.6 juta).

Sebelum beliau menjadi hakim Mahkamah Agung, Medina Mora terkenal di kalangan badan keselamatan Mexico.

Dari 2000 hingga 2005, beliau menjadi pengarah agensi perisikan Mexico, dan dari 2005 hingga 2006, Medina Mora merupakan sekretariat keselamatan awam di bawah kerajaan Vicente Fox.

Dari 2006 hingga 2009, beliau menjadi ketua pe-guam negara di bawah Felipe Calderon dan kemudian duta Mexico ke AS dan Britain.

Selepas Senat mengesahkan peletakan jawatannya, Lopez Obrador mesti menghantar tiga calon baharu ke badan perundangan itu untuk pertimbangan bagi mengisi kerusi mahkamah yang kosong.

Pengganti Medina Mora adalah hakim ketiga yang telah dicalonkan oleh Lopez Obrador bagi mahkamah tertinggi di negara itu sejak beliau memegang kuasa pada Disember lalu. — AFP

Advertisement