Anda di sini

Dera bayi, dua dicekup

Advertisement
 Suspek pertama (tengah) ketika ditahan polis, kelmarin.
TANGKAP: Suspek pertama (tengah) ketika ditahan polis, kelmarin.
 Suspek kedua yang ditahan pagi semalam untuk membantu siasatan lanjut kes.
TURUT DITAHAN: Suspek kedua yang ditahan pagi semalam untuk membantu siasatan lanjut kes.

SIBU: Dua suspek lelaki ditahan berhubung kes seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang dipercayai menjadi mangsa dera di sini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, bayi tersebut mengalami  pendarahan dalam otak dan telah menjalani pembedahan di Hospital Sibu.

Katanya, kejadian disedari oleh nenek mangsa, 47, selepas mendapati cucunya berada dalam keadaan lemah dan terdapat kesan kemerahan di dahi pada pagi Selasa lalu.

“Insiden itu disedari pengadu (nenek mangsa) yang mendapati cucunya berada dalam keadaan lemah dengan kesan bengkak di bahagian dahi selepas dia pulang ke rumah di Jalan Rafflesia 10 di sini pada jam 11 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Stanley berkata, pengadu telah membuat laporan polis selepas dinasihatkan oleh pihak hospital kerana terdapat unsur penderaan pada bayi selepas pemeriksaan dan pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mendapati mangsa mengalami  pendarahan dalam otak.

Bagaimanapun katanya, keadaan mangsa stabil namun belum sedar selepas menjalani pembedahan.

Stanley berkata, bertindak atas maklumat pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) diketuai ASP Irwan Hafiz telah membuat tangkapan ke atas suspek pertama berusia 36 tahun kelmarin.

“Suspek pertama yang bekerja sebagai buruh telah direman lima hari oleh Mahkamah Majistret bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Stanley berkata, susulan siasatan lanjut, polis bertindak menahan seorang lagi suspek lelaki berumur 20 tahun yang juga merupakan adik kepada ibu mangsa pada jam 10.30 pagi semalam.

Pada hari kejadian katanya, bayi itu dikejarkan ke hospital oleh neneknya dan mangsa terus mendapat rawatan di Zon Merah, Unit Kecemasan Hospital Sibu pada jam 12.35 tengah hari.

Siasatan awal polis katanya, mangsa adalah anak tidak sah taraf kepada suspek pertama dan anak perempuan pengadu yang kini bekerja sebagai pelayan restoran di Kuala Lumpur.

Katanya, kali terakhir suspek pertama dilihat oleh anak lelaki pengadu bersama mangsa di hadapan ruang tamu sebelum dia bergegas pulang ke rumah kongsi tidak jauh dari tempat kejadian.

Beliau menambah, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

  • oleh
  • Advertisement