Anda di sini

3.5 juta penonton saksi Mu’izz Zulqarnain menjadi juara

 Misha Omar dan Mu’izz Zulqarnain.
BERBAKAT: Misha Omar dan Mu’izz Zulqarnain.

SELEPAS bersiaran selama 14 minggu, program realiti I Can See Your Voice Malaysia 2 (ICSYVMY2) yang sentiasa memeriahkan suasana malam minggu anda akhirnya telah menobatkan Mu’izz Zulqarnain sebagai juara.

ICSYVMY2 yang baru sahaja melabuhkan tirainya berjaya meraih 3.5 juta penonton, manakala rating terkumpul untuk kesemua episod ICSYVMY2 ini berjumlah 11.3 juta penonton (sumber: Nielsen Audience Measurement).

Sementara itu, tontonan di platform digital YouTube TV3 Malaysia dan YouTube TV9 Malaysia pula berjaya meraih jumlah tontonan sebanyak 43 juta.

Mu’izz, atau lebih dikenali sebagai ‘Ya Tuan’ dalam program realiti ini merupakan peserta paling muda. Bukan sahaja bertuah meraih gelaran juara, beliau juga telah berpeluang untuk mengeluarkan single lagunya sendiri berjudul ‘Andai Nanti’ yang menjadi impian setiap peserta.

Kemenangan Mu’izz ini cukup membuktikan yang beliau amat berbakat kerana berjaya menewaskan tujuh peserta lain iaitu Amirul Ashraf, Puteri Zarith Ziana, Norafheda, Sofea Arissa, Nursyahmina Amirah, Muhammad Hakimi dan Syamsul Idzham.

Showcase ICSYVMY2 kali ini turut membawa sedikit kelainan kerana penonton berpeluang untuk menyaksikan juara mingguan daripada setiap episod bertanding antara satu sama lain di hadapan empat artis jemputan iaitu Misha Omar, Ara Johari, Andi Bernadee dan Luqman Faiz untuk membuktikan kehebatan masing-masing.

Berbeza dengan sebelum ini di mana para artis jemputan bertanggungjawab untuk mengenalpasti penyanyi sebenar dalam kalangan penyamar bersuara sumbang.

Showcase ICSYVMY2 dibahagikan kepada dua pusingan, di mana dua peserta perlu mempersembahkan sebuah lagu di hadapan barisan artis jemputan, tanpa menunjukkan penampilan mereka. Kemudian, keempat-empat artis jemputan perlu memilih seorang peserta yang akan mara ke pusingan seterusnya.

Di pusingan kedua pula, setiap peserta yang dipilih perlu membuat persembahan solo. Selepas tamat persembahan, artis-artis jemputan ini bertanggungjawab untuk menentukan juara Showcase ICSYVMY.

ICSYVMY2 ini dibawakan khas oleh Oppo selaku penaja bersama.

Selain itu, ICSYVMY2 turut menampilkan Hot FM sebagai Geng Radio dan OHBULAN! sebagai Geng Digital. Krew penerbitan ICSYVMY2 pula diketuai oleh Mas Ayu Ali selaku Penerbit Eksekutif, dan Lucent Chong Kien Wen sebagai penerbit merangkap pengarah.

Tahniah diucapkan kepada Mu’izz Zulqarnain! Jangan lupa untuk saksikan video muzik single terbaharu Mu’izz yang berjudul ‘Andai Nanti’ di YouTube TV3 dan TV9 Malaysia. Kesemua episod ICSYVMY2 juga boleh disaksikan secara HD di tonton, YouTube TV3 Malaysia Official dan YouTube TV9 Malaysia Official.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook & Instagram di @tv3malaysia.