Anda di sini

Tiga beradik antara didenda kerana main ‘holo’

Advertisement

KUCHING: Sembilan lelaki warga tempatan termasuk tiga beradik antara yang didenda RM1,500 atau lima bulan penjara sekiranya gagal oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana kesalahan bermain judi ‘holo’ di tempat awam.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 23 hingga 54 tahun itu mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nelson Ensit di hadapan Majistret Mohd Syukri Mokhtar.

Mereka masing-masing didakwa melakukan perbuatan terbabit di kawasan terbuka iaitu di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Sarig, Padawan.

Kejadian berlaku pada jam 6.10 petang, 25 September lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang remaja berusia 19 tahun didenda RM1,500 atau sebulan penjara atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol pada 23 Mac lepas.

Lo Leong Boon mengaku bersalah memandu kereta dibawah pengaruh alkohol sebanyak 193mg/100ml dalam darah iaitu melebihi 113 mg alcohol dalam 100ml iaitu melebihi daripada had yang dibenarkan sebanyak 80 mg dalam 100ml dalam darah.

Tertuduh melakukan kesalahan tersebut pada jam lebih kurang 1.30 pagi di Jalan Simpang Tiga, semasa ‘Ops Mabuk’ dijalankan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM6,000 dan boleh juga dipenjara tidak melebihi 12 bulan serta lesen percubaan dibatalkan.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Jimmy Tanjong Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement