Anda di sini

Terjejas akibat tanah susur

Advertisement
 Anggota bomba membantu membersih rumah penduduk yang ditimbus tanah susur di Kampung Pemukat, petang semalam.
BERSIH: Anggota bomba membantu membersih rumah penduduk yang ditimbus tanah susur di Kampung Pemukat, petang semalam.

LIMBANG: Tujuh keluarga terjejas dalam dua kejadian tanah susur yang berlaku dipercayai akibat hujan lebat di sini, semalam.

Dalam kejadian pertama di Kampung Bukit Kota awal pagi semalam, lima keluarga berdepan detik mencemaskan apabila kejadian tanah susur berlaku di kawasan kediaman mereka.

Insiden sekitar jam 3.30 pagi itu mengejutkan Dullah Tarip, 60, dan keluarganya dari tidur selepas dimaklumkan adik iparnya.

"Kejadian itu dimaklumkan oleh adik ipar yang mengetuk pintu di awal pagi, menyebabkan saya bergegas keluar dan mendapati kereta yang diparkir di luar hampir tertimbus.

"Saya segera meminta ahli keluarga untuk menyelamatkan harta benda di dalam rumah kerana bimbang tanah susur memasuki rumah," ujarnya kepada media semalam.

Dullah berkata, ia bukan kejadian kali pertama kerana kampung berkenaan pernah berdepan insiden sama lebih 10 tahun lalu.

"Saya tidak menyangka insiden tanah susur yang menghantui penduduk lebih 10 tahun lalu sehingga menyebabkan sebahagian penduduk dipindahkan ke kawasan lain berulang kembali," katanya.

Jelasnya anggota bomba turut berada di lokasi bagi melancarkan kerja-kerja membantu dan menyelamat.

Sementara itu, Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Edmund Mahai Amboh berkata, anggotanya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 5.10 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi kita mendapati berlaku tanah runtuh atau susur yang menimpa bahagian bawah sebuah kereta menyebabkan tayar kereta tersebut tertimbus dan tidak boleh dipandu keluar.

"Pasukan bomba dibantu oleh penduduk kampung bertindak mengalihkan tanah susur menggunakan cangkul sehingga kereta berjaya dialihkan," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian kedua di Kampung Pemukat, dua keluarga terjejas dengan kerosakan di bahagian hadapan rumah mereka.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Zian Azizi Yusuf berkata kejadian berlaku jam 3.11 petang dan tiada kecederaan dilaporkan.

"Tanah susur berlaku selepas strukturnya lemah berikutan hujan lebat.

"Pemantauan terus dijalankan oleh anggota bomba bagi mengesan pergerakan tanah yang dikhuatiri mampu mengancam keselamatan penghuni," katanya.

Jelas beliau setakat ini penghuni tidak dipindahkan dan bomba sudah memaklumkan kejadian itu kepada agensi lain sebagai langkah berjaga-jaga.

  • oleh
  • Advertisement