Anda di sini

Pertelingkahan meletus selepas presiden Ecuador isytihar keadaan darurat

Advertisement
 Polis rusuhan menangkap seorang lelaki semasa pertelingkahan yang meletus selepas kerajaan Moreno memansuhkan subsidi bahan bakar di Quito, Ecuador kelmarin. — Gambar Reuters
TANGKAP: Polis rusuhan menangkap seorang lelaki semasa pertelingkahan yang meletus selepas kerajaan Moreno memansuhkan subsidi bahan bakar di Quito, Ecuador kelmarin. — Gambar Reuters

QUITO: Pertelingkahan meletus antara penunjuk perasaan dengan polis di Ecuador selepas Presiden Lenin Moreno mengisytiharkan keadaan darurat kelmarin ekoran demonstrasi menentang kenaikan harga bahan bakar disebabkan oleh tindakan kerajaan memansuhkan subsidi.

Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang melontar batu dan bom api berhampiran kerusi kerajaan di pusat bersejarah ibu negara Quito.

Moreno memberitahu pemberita bahawa beliau telah mengambil langkah “untuk menjaga keselamatan warga negara dan mengelak huru-hara”.

Protes – yang terbesar dalam tempoh sedekad – diketuai sektor pengangkutan tetapi turut disertai pelajar dan kumpulan lain.

Mereka melumpuhkan pengangkutan awam dalam beberapa kawasan, manakala pertelingkahan antara polis dan penunjuk perasaan menyekat jalan-jalan.

Lebih 21 anggota polis cedera dalam keganasan yang berlaku manakala 277 orang ditangkap kerana melakukan “vandalisme”, kata Menteri Pertahanan Oswaldo Jarrin.

Tiada angka diberikan bagi jumlah keseluruhan orang yang cedera tetapi beberapa jurugambar media cedera dalam pertelingkahan itu.

Demonstrasi berlaku ekoran peningkatan sebanyak 120 peratus dalam harga bahan bakar, yang berkuat kuasa kelmarin setelah kerajaan memansuhkan subsidi sebagai sebahagian daripada persetujuan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapatkan pinjaman walaupun ia mempunyai hutang awam yang tinggi.

Subsidi tersebut menyebabkan kerajaan menanggung kos sebanyak AS$1.3 bilion (RM5.5 bilion) setahun.

Perjanjian dengan IMF, yang ditandatangani pada Mac lalu, membolehkan Ecuador untuk meminjam AS$4.2 bilion (RM17.6 bilion).

Moreno menyalahkan pre-siden lama, Rafael Correa, yang sudah mencari perlin-dungan suaka di Belgium, bagi kemerosotan dalam kewangan negara.

Beliau dikehendaki di tanah air kerana disyaki menculik seorang penentang politik pada 2012 sewaktu beliau menjadi presiden selama 10 tahun.

Langkah darurat itu membolehkan kerajaan untuk membataskan pergerakan, mengerahkan angkatan ten-tera untuk menjaga ketenteraman, dan menapis media.

Ia akan dikuatkuasakan selama 60 hari, dan selepas itu, ia dapat dilanjutkan selama 30 hari lagi, kata kerajaan. — AFP

Advertisement