Anda di sini

Pengusaha rumah, loji proses burung walit diminta daftar dengan JPV Sabah

Advertisement
 Peter merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian peserta kursus sambil menunjukkan isyarat 'bagus' sempena majlis itu.
BAGUS: Peter merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian peserta kursus sambil menunjukkan isyarat 'bagus' sempena majlis itu.

KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah Dr Peter A.K Lee meminta semua pengusaha rumah dan loji pemprosesan burung walit supaya tampil mendaftarkan premis masing-masing bagi memastikan pembangunan industri terbabit berjalan dengan terancang.

Peter berkata, pendaftaran adalah percuma dan ianya boleh dilakukan di mana-mana Pejabat JPV daerah dan wilayah atau di Ibu Pejabat JPV Sabah sendiri.

Jelas beliau, selain memastikan industri tersebut lebih terancang, ia juga bertujuan memastikan pembangunan industri burung walit mempunyai peruntukan sewajarnya daripada kerajaan.

Ini kerana katanya, kerajaan telah menjadikan industri tersebut sebagai satu projek permulaan (EPP) berimpak tinggi dengan sasaran nilai eksport RM5.2 bilion pada tahun 2020.

"Sehingga hari ini, (Julai 2019) JPV Sabah telah berjaya mendaftarkan sebanyak 14,736 buah premis sarang burung walit. Dan dianggarkan lebih 50,000 rumah burung walit telah dibina dan beroperasi di seluruh negara sejak tahun 2008.

"JPV Sabah turut menyasarkan untuk mendaftarkan 25,000 rumah burung walit menjelang tahun 2020 di negeri ini. Ini adalah dalam rangka usaha memperkukuh sistem daya jejak produk sarang burung walit bagi mencapai piawaian global, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kursus Pemprosesan Sarang Burung Walit Zon Borneo di salah sebuah hotel di ibu negeri, semalam.

Dalam perkembangan sama, Peter memberitahu, sebanyak 380 buah premis loji pemprosesan sarang burung walit telah didaftarkan, dan daripada jumlah itu, hanya 20 buah loji pemprosesan berdaftar di Sabah.

Jelasnya, hanya satu buah loji pemprosesan sahaja yang mempunyai permit eksport ke China memandangkan loji tersebut mempunyai pensijilan kualiti GMP/GVHP.

"Justeru, JPV Sabah telah mengambil beberapa inisiatif dengan mengadakan kursus-kursus yang berkaitan dengan GMP untuk dihadiri oleh pihak-pihak yang memproses sarang burung walit.

"Ini bertujuan memastikan loji pemprosesan di Sabah menepati kehendak kualiti terutama pengauditan oleh pihak Kerajaan China yang memenuhi (GACC), " katanya.

Oleh itu, Peter mengingatkan sekali lagi kepada semua pengusaha rumah dan loji pemprosesan burung walit atau individu yang terlibat dalam industri tersebut supaya tampil mendaftarkan perusahaan mereka secara percuma di mana-mana Pejabat JPV daerah dan wilayah atau di Ibu Pejabat JPV Sabah sendiri.

  • oleh
  • Advertisement