Anda di sini

Pembinaan IR4.0 lebih pantas, cekap

Advertisement

Ini adalah artikel ketiga daripada rencana tiga bahagian mengenai rancangan kerajaan untuk membina sejuta rumah mampu milik sepanjang satu dekad akan datang seperti yang digariskan dalam Dasar Rumah Mampu Milik Negara.

-- Foto Ihsan Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM)

KUALA LUMPUR: Keyakinan kerajaan untuk merealisasikan agenda satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun  pastinya bersandarkan alasan yang kukuh.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah beberapa kali memberi jaminan kerajaan akan membina 100,000 unit rumah mampu milik setiap tahun sepanjang tempoh tersebut untuk menjayakan agenda nasional itu.

Daripada jumlah 100,000 rumah mampu milik  yang dibina setiap tahun, kerajaan pusat akan membina 61,000 unit rumah sementara selebihnya dibina oleh kerajaan negeri dan swasta.

Peralihan teknologi dalam Sistem Binaan Berindustri (IBS)  yang menggabungkan teknologi digital, automasi dan tenaga berkemahiran tinggi dalam pembinaan rumah mampu milik akan mengerakkan Pembinaan 4.0 dengan lebih agresif yang menggunakan elemen Industri 4.0.

Dalam hal ini, Pakar Teknikal di Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM), Prof. Ir. Dr Zuhairi Abd. Hamid berkata penggunaan teknologi yang tinggi akan membantu mempercepatkan lagi pembinaan rumah mampu milik bagi  mencapai sasaran satu juta yang ditetapkan.  

Menurut beliau, walaupun Malaysia belum sepenuhnya mengaplikasikan industri 4.0 iaitu hanya sekitar 30 peratus, namun usaha sudah dibuat ke arah perlaksanaannya terutama dalam Pembinaan 4.0.

"Perubahan teknologi ini pastinya akan digunakan sepenuhnya di dalam melaksanakan rumah mampu milik yang akan membantu mempercepatkan lagi teknologi  di dalam industri 4.0 berkembang di dalam sektor pembinaan,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif di sini baru-baru ini.

BIM BANTU PERCEPATKAN IR4.0 DALAM PEMBINAAN

Zuhairi menjelaskan Model Maklumat Bangunan (BIM) adalah antara asas utama yang menggerakkan Revolusi Industri (IR4.0)  dalam sektor pembinaan di negara.

BIM ialah teknologi pemodelan dan set proses yang berkaitan untuk menghasilkan, berkomunikasi, menganalisis dan menggunakan model maklumat digital sepanjang kitaran hayat projek pembinaan.

Ia melibatkan proses berasaskan model tiga dimensi (3D) pintar yang memberikan maklumat untuk arkitek, kejuruteraan, dan profesional pembinaan merancang, mereka bentuk, membina serta mengurus bangunan dan infrastruktur dengan cekap.

“Ini akan mempercepatkan lagi masa pembinaan, mengurangkan penggunaan buruh dan menjimatkan kos.

“BIM juga dapat mengesan kesilapan lebih awal yang akan dapat mengurangkan bahan buangan pembinaan,” katanya sambil penambah penggunaan data raya serta dron, antara elemen IR40 yang tidak asing lagi digunakan dalam pembinaan

Bagaimanapun, menurut beliau percetakan 3D belum lagi digunakan di Malaysia walaupun teknologi itu ada dan kajian pihak universiti juga mula dilakukan.

“Dari segi alatan melibatkan teknologi tinggi memang mahal. Persoalannya, adakah kita mampu membelinya dan bukan itu sahaja, latihan juga harus diberikan untuk mengendalikan teknologi tersebut yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi. Adakah juga tenaga berkemahiran tinggi ini dilatih sepenuhnya?

“Bagi kepakaran dalam BIM, kita perlukan pengurus BIM, perancang BIM. Mereka ini perlu dilatih hingga ke peringkat antarabangsa dengan kursus yang diiktiraf bukan sekadar sijil,” tambahnya.

PEMAJU PERLU BERSEDIA DENGAN INDUSTRI 4.0

Menurut Zuhairi, pemaju perlu bersedia ke arah Pembinaan 4.0  terutama perubahan nilai yang berlaku sekiranya tidak mahu terpinggir.

Bagi pemaju dan kotraktor G7, mereka tidak berhadapan masalah yang besar untuk mengadaptasikannya namun bagi pemaju dan kontraktor yang masih kekal dalam pembinaan konvensional, mereka secara perlahan-lahan akan diketepikan.

Tegas beliau, cabarannya adalah kesedaran dalam kalangan  pemain industri pembinaan yang masih lagi rendah tentang industri 4.0.

Banyak perkara yang perlu dilihat dan ditambah baik bagi menggerakkan ke arah Pembinaan 4.0, antaranya meningkatkan jaringan siber, meningkatkatkan kebolehoperasian digital secara bersepadu selain  perlu mewujudkan polisi standard untuk digunakan oleh pemain industri

Untuk berubah kepada teknolgi tinggi memerlukan kos yang sangat tinggi dan ini menjadi kesukaran terutama  dalam kalangan pemaju kecil-kecilan, katanya.

“Ini adalah antara konflik yang berlaku antara konvensional dan menuju ke teknologi industri 4.0. Banyak bidang yang dahulu dilakukan manusia kini digantikan oleh automasi dan pekerja pula perlu berkemahiran tinggi untuk mengendalikannya dengan diberikan latihan yang mencukupi," katanya.

Zuhairi berpandangan, Pembinaan 4.0 akan digunakan secara lebih meluas lagi pada 2025.

IPTA BERUBAH KE ARAH INDUSTRI 4.0

Sementara itu, bagi melahirkan tenaga berkemahiran  yang sesuai dengan kehendak keperluan pasaran Pembinaan 4.0 , universiti tempatan juga dilaporkan sudah mengemaskini silibus pengajian mereka dengan kehendak Industri 4.0.

Antaranya ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bergerak secara serius melahirkan jurutera bidang pembinaan yang memenuhi pasaran Pembinaan 4.0.

Menurut Pensyarah Kanan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Dan Alam Bina, UKM, Dr Noraini Hamzah, beberapa elemen Industri 4.0  menjadi fokus utama dalam silibus jabatan itu yang membuat semakan setiap lima tahun.

Sebahagian besar kursus yang disediakan akan diterapkan dengan elemen Industri 4.0 yang melibatkan pendigitalan dalam proses pembinaan.

Antara pendedahan yang diberikan kepada pelajar adalah data raya, penggunaan dron dalam pembinaan, Percetakan 3D dan aplikasi di dalam BIM  melalui gajet dan peranti.

Beliau yang juga Ketua Hah Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat FKAB (HEJIM) berkata, negara maju sudah menggunakan sepenuhnya elemen Industri 4.0.

"Apa yang UKM buat adalah menggiatkan lagi kolaborasi serta jaringan dengan universiti luar negara  yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu untuk dikongsikan dengan pelajar di sini.

"Kerjasama dengan pihak industri dalam penyelidikan juga amat ditekankan serta keperluan penglibatan industri dalam projek akhir tahun pelajar sudah mula direkodkan sejak 2 tahun lepas, " katanya.

Antara kerjasama yang dilakukan ialah melalui geran penyelidikan antarabangsa yang diketuai oleh beliau sendiri bersama Dr. Eric Lou dari Universiti of Manchester di United Kingdom. Ia juga dijalankan dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara dan Fakulti Alam Bina, UM dalam membangunkan satu skema penilaian yang dipanggil HeRAS (Heritage Refurbishment Assessment Scheme) pada tahun 2017.

Demostrasi pendigitalan bangunan warisan di Pulau Pinang yang menggunakan pengimbas laser 3D dan dimodelkan secara digital 3D merupakan antara aktiviti dalam agenda HeRAS ini.

Menurut beliau lagi, perkongsian ilmu dan demonstrasi turut diberikan bersama pelajar bagi memberikan mereka lebih banyak pendedahan. 

Selain itu, pelajar bidang kejururuteraan awam juga perlu menguasai teknologi dalam BIM yang kini banyak digunakan dalam kalangan pemaju kelas A di Malaysia.

Beliau berkata, pada dua tahun lepas, kajian pelajar tentang BIM memberi fokus kepada kesedaran penggunaannya dan kini fokus kajian adalah dalam peringkat perlaksanaan dan bagaimana meningkatkan keberkesanan penggunaan BIM.

"Begitu juga kajian penggunaan dron yang dibuat sejak dua tahun lepas dan kini penggunaan dron sudah semakin mantap dan diguna pakai dalam banyak kerja pembinaan yang bukan sahaja menjimatkan masa tetapi turut membantu dari aspek keselamatan pekerja di tapak pembinaan," katanya. 

KAJIAN PENCETAKAN 3D DALAM INDUSTRI PEMBINAAN

Menurut Dr Noraini, penyelidikan yang lebih ke hadapan yang sedang dilakukan adalah penggunaan pencetakan 3D dalam projek pembinaan.

Penyelidikan akademik dilakukan dengan kajian tentang kesedaran sebelum beralih kepada kajian kesediaan menggunakannya serta cabaran, katanya.

"Di Asia, China adalah antara negara yang banyak menghasilkan model daripada pencetakan 3D ini. Fokus kajian kini adalah menentukan bahan yang sesuai untuk digunakan bagi ketahanan sesebuah bangunan itu.

"Pentingnya  pencetakan 3D ini ia dapat menjimatkan kos pekerja dan mengurangkan tenaga kerja. Proses kerja mencetak ini akan mempercepatkan lagi tempoh pembinaan berbanding tenaga kerja manusia," katanya.

Untuk melaksanakan teknologi pencetakan 3D di negara ini mungkin akan mengambil masa kerana kosnya yang mahal dan kesediaan memperoleh pencetak berskala besar di pasaran Malaysia.

"Ia akan berbalik kepada kemampuan pemain industri. Walaupun perlaksanaan sepenuhnya Pembinaan 4.0 ini akan mengambil masa, namun pusat pengajian tinggi tempatan telah bersedia bagi melahirkan graduan yang berkualiti mengikut kehendak pasaran," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata setiap bakal jurutera yang dilahirkan universiti tempatan termasuk UKM perlu mendapat pengiktirafan  Majlis Akreditasi Jurutera  untuk melayakkan mereka mendaftar  dengan Lembaga Jurutera Malaysia sebagai seorang jurutera.

"Ini adalah bukti UKM mampu melahirkan graduan jurutera berdaya saing dan kompeten dalam arus teknologi IR4.0, " katanya. - Bernama

  • oleh
  • Advertisement