Anda di sini

MBK perlu diberi layanan sama rata

Advertisement
 Said dan Norazmah bersama pelajar dan ibubapa semasa majlis hari jadi tersebut.
HARI JADI : Said dan Norazmah bersama pelajar dan ibubapa semasa majlis hari jadi tersebut.

TAWAU: Murid Berkeperluan Khas (MBK) harus diberikan layanan yang sama rata dengan pelajar lain kerana kehadiran mereka memberikan kebaikan yang tersirat di  dalam sesebuah sekolah.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan II  Abdul Said Hj. Mahid berkata, kehadiran MBK dapat  memberikan pengajaran kepada seluruh warga di sekolah ini tentang keberadaan insan- insan istimewa di dalam masyarakat.

"Saya optimis bahawa anak-anak ini dapat memberikan sesuatu kebaikan dan mampu  menyumbang sesuatu yang mampu menjadi kebanggaan sekolah ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Hari Jadi Program Pendidikan Khas Integrasi  (PPKI) SMK Kinabutan II, di sini, semalam.

Menurut beliau, MBK di sekolah ini tidak boleh berada di dalam kelompok mereka sahaja, mereka perlu menjalankan aktiviti dan berkomunikasi bersama pelajar-pelajar yang lain.

"Semua guru-guru harus mendidik dan memberikan pendedahan kepada MBK untuk  menggunakan keseluruhan fasiliti yang ada di sekolah ini seperti pelajar perdana yang  lain," katanya lagi.

Said berharap ibubapa dan guru-guru dapat membantu MBK ini dalam membentuk sahsiah diri mereka supaya mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat di luar.

"Sempena sambutan hari jadi ini, saya mendoakan agar semua MBK menjadi anak-anak  yang soleh dan soleha dan beroleh kejayaan suatu hari kelak," tambahnya.

Sementara Penyelaras PPKI Norazmah Mohd Basri berkata, majlis ini julung kali diadakan memandangkan PPKI  baru sahaja diwujudkan di sekolah ini.

"Kita merancang untuk mengadakan sambutan ini sebanyak dua kali setahun sekiranya  mendapat persetujuan daripada pihak pengetua," katanya.

Norazmah berkata, banyak aktiviti bersifat pengajaran dan pembelajar yang akan dilaksanakan untuk MBK sekolah ini dalam membentuk keperibadian mereka.

"Pihak PPKI sudah diberikan kelonggaran daripada pihak sekolah untuk menjalankan aktiviti yang setaraf dengan pelajar sekolah perdana yang lain.

"Kita akan memberikan kaedah pengajaran yang inklusif dan tidak berkelompok supaya  mereka dapat bergaul dengan pelajar lain selain diberikan ruang untuk menggunakan  semua prasarana sekolah yang ada," katanya.

Beliau juga berharap supaya MBK tidak dilihat seperti orang lain di kalangan pelajar perdana, tetapi mampu berkawan dan berkomunikasi serta menjalankan aktiviti bersama.

  • oleh
  • Advertisement