Anda di sini

Lebih 75 peratus graduan Kiara peroleh pekerjaan tetap

Advertisement
 Anuwar menyampaikan anugerah khas graduan cemerlang kepada seorang penerima.
TAHNIAH: Anuwar menyampaikan anugerah khas graduan cemerlang kepada seorang penerima.

KOTA KINABALU: 75 hingga 80 peratus graduan Kolej Kiara berjaya mendapatkan pekerjaan tetap dan memegang jawatan tertinggi dalam organisasi berkaitan, sejurus berjaya menamatkan latihan industri di institusi berkenaan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Masa Kiara Sdn Bhd, Profesor Emeritus Tan Sri Anuwar Ali berkata, pencapaian itu adalah berita gembira buat warga kolej dan membuktikan bahawa Kolej Kiara berjaya menawarkan program yang relevan mengikut keperluan pasaran semasa.

"Sijil diploma yang mereka peroleh akan dapat membuka peluang yang lebih luas kepada graduan seterusnya mengubah taraf hidup keluarga mereka ke arah kehidupan yang lebih baik.
 
"Justeru, graduan diharapkan dapat terus cemerlang dan gemilang dalam perjalanan hidup yang dipilih selepas ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Kolej Kiara berkata, kualiti silibus terkini yang ditawarkan dalam program diploma juga secara langsung membantu graduan menjadi lebih berkeupayaan terhadap bidang yang diceburi.

Katanya, melalui platform itu, graduan berpeluang menjadi usahawan, teknokrat, teknopreneur atau menceburi pekerjaan melibatkan bidang profesional.

Bagaimanapun katanya, graduan digalakkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi terutamanya di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.

Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa Kolej Kiara sudah mengadakan kerjasama pintar dengan Study Germany Sdn. Bhd. untuk menawarkan program Ausbildung untuk anak Sabah yang ingin melanjutkan pengajian ke negara Jerman.

Katanya, kerajaan Jerman menawarkan pendidikan percuma dan TVET iaitu belajar sambil bekerja.

"Selain itu, Kolej Kiara juga dalam proses untuk menjadi kampus satelit Universiti Putra Malaysia (UPM).

" Kolej ini juga dijangka akan menawarkan program di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah mulai 2020 tahun depan," katanya.

Terdahulu, Majlis Konvokesyen Kali Ke-3 Kolej Kiara yang berlangsung di Dewan Saadah Wisma Muis itu meraikan seramai 200 graduan di peringkat Diploma Kesetiausahaan Eksekutif, Diploma Pentadbiran Korporat dan Diploma Pengurusan Hotel.

Pada majlis itu, Penerima Anugerah Khas Graduan Cemerlang yang juga penerima Anugerah Kelas Pertama bagi Diploma Pentadbiran Korporat diberikan kepada Thomas Tseu dengan CGPA 3:93.

Manakala, penerima Anugerah Kelas Pertama bagi Diploma Kesetiausahaan Eksekutif ialah Nur Effieanieza Khoo dengan CGPA: 3.68 dan Hendraflyn Jikilin CGPA: 3.60.

 Bagi Penerima Anugerah Kelas Pertama Diploma Pengurusan Hotel ialah Astilieca Joan (CGPA: 3.56), Marilyn Motuin (CGPA: 3.51), Siti Haizah Abdul Ghafor (CGPA: 3.61), Vianna Sherra Labi (CGPA: 3.62), Wayuni Usman (CGPA: 3.72), Farnica Aiwera Henry (CGPA: 3.54), Jemima Valerie Joumas (CGPA: 3.54), Reddy Rom Nd Bangkor (CGPA: 3.71) dan Siti Nurhanizah Ruji (3.56).

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Masa Kiara Sdn. Bhd Repin Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif SUSB Anikhoh Rusda Kamarul Zaman dan Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej Kiara Brig. Jen. (B) Prof. Datuk Seri Panglima Dr. Kamaruzaman Bin Hj. Ampon.

  • oleh
  • Advertisement