Anda di sini

Hospital Lahad Datu perlu doktor pakar

Advertisement
 Lawatan Mohamaddin disambut Dr. Tan (kanan).
LAWATAN: Lawatan Mohamaddin disambut Dr. Tan (kanan).

LAHAD DATU: Hospital Lahad Datu mengalami kekurangan doktor pakar meski ianya berstatus hospital pakar.

Masalah ini dilihat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi merangkap Ahli Parlimen Silam sebagai membebankan rakyat yang terpaksa mendapatkan khidmat doktor pakar di daerah Tawau atau Sandakan.

"Saya minta (pihak pengurusan hospital) tulis surat, dan saya akan bincang dengan Menteri Kesihatan tentang keadaan serta keperluan di Hospital Lahad Datu ini," katanya kepada media selepas lawatan beliau ke Hospital Lahad Datu, di sini, semalam.

Mengulas lanjut Mohamaddin meminta agar penempatan doktor pakar Ortopedik, Psikiatri dan Oftalmologi.

Selain masalah kurangnya doktor pakar, Hospital Lahad Datu juga menghadapi kekangan ruang sempit untuk pesakit buah pinggang.

"Setelah melihat kekurangan dan keperluan hospital ini, saya akan mencari kaedah bagi memberi bantuan menambah mesin dialisis untuk pesakit buah pinggang.

"Kita juga akan berusaha untuk menampung kekurangan mesin bantuan pernafasan untuk pesakit daerah ini," katanya.

Pengarah Hospital Lahad Datu, Dr Tan Hee Ting yang mengiringi Mohamaddin dalam lawatan beliau memberitahu bahawa kes denggi di daerah ini mencatatkan peningkatan 300 peratus.

Tan berkata, peningkatan kes denggi itu berpunca daripada kawasan Felda Sahabat yang merekodkan kes tertinggi dengan lima kanak-kanak maut.

Katanya, masyarakat perlu meningkatkan kesedaran berkaitan perkara ini dengan mengamalkan rutin kebersihan bagi mengurangkan kes yang boleh membawa maut ini.

  • oleh
  • Advertisement