Anda di sini

22 buah sekolah daif dapat bangunan baharu melibatkan RM88 juta

Advertisement
 Yusof (dua kiri) menjelaskan sesuatu ketika dalam sidang media berkenaan.
SIDANG MEDIA: Yusof (dua kiri) menjelaskan sesuatu ketika dalam sidang media berkenaan.

KOTA KINABALU: Sebanyak 22 buah sekolah gantian akan dibina melibatkan peruntukan RM88 juta dilaksanakan tahun ini bagi mengantikan sekolah-sekolah daif di seluruh Sabah.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, sejumlah RM10 juta peruntukan pembinaan sekolah gantian akan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS), sementara RM78 juta akan menggunakan kaedah konvensional yang melibatkan para kontraktor tempatan.

"Sekolah Kebangsaan Sungai-Sungai Beluran, SK Nibang Pitas dan SK Tiong Widu Tambunan akan dibina dengan pendekatan IBS dan kita jangkakan surat tawaran pembinaan akan diserahkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

"Bakinya peruntukan RM78 juta akan digunakan menyiapkan bangunan gantian sekolah daif sebanyak 19 buah daripada jumlah keseluruhan 587 sekolah daif yang sudah dikenal pasti," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Pelaksanaan Projek Sekolah Daif Fasa Pertama, di sini semalam.

Beliau berkata, antara 19 buah sekolah daif yang dikenal pasti itu terletak di daerah Tawau sebuah sekolah, Papar (7), Kota Belud (5), dan bakinya terletak di Beaufort, Kota Marudu, Keningau, Ranau dan Kuala Penyu.

Katanya, keutamaan pembinaan sekolah gantian itu diberikan kepada sekolah daif yang dikategorikan oleh pihak Jabatan Kerja Raya sebagai tidak selamat untuk diduduki.

"19 buah sekolah ini sudah mempunyai reka bentuk dan tapaknya dan proses tender akan diselesaikan hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

"Surat tawaran akan diberikan kepada para kontraktor dan mereka perlu menyiapkan sekolah-sekolah terbabit dalam tempoh enam bulan.

"Oleh itu kita menjangkakan kesemua 22 buah sekolah daif ini mempunyai bangunan gantian pada pertengahan tahun hadapan,"katanya.

Yusof berkata, baki sekolah daif yang terdapat di Sabah akan dilaksanakan pada tahun hadapan atau selewat-lewatnya pada Rancangan Malaysia Ke-12 secara berperingkat.

Beliau berharap perancangan yang dilakukan kerajaan dapat dilaksanakan segera dan proses pemantauan akan dilakukan oleh pihak kementerian di peringkat Pusat.

"Selain itu, kita juga membincangkan usaha audit pendawaian sekolah agar kemudahan yang ada pada sekolah lama digantikan.

"Sistem pembentungan, meja, kerusi dan keperluan lain di sekolah diharapkan dapat dilaksanakan tahun hadapan walaupun sebahagiannya sudah dilaksanakan tahun ini," katanya.

Manakala katanya, sejumlah RM15 juta peruntukan juga diluluskan pada tahun ini bagi pembaikan-pembaikan kecil secara segera.

Katanya, peruntukan dari Pusat itu diturunkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan diagihkan kepada setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk perlaksanaan dan pemantauan.

"Saya berharap perkara ini juga dapat dilaksanakan sepenuhnya tahun ini dan peruntukan itu wajib dihabiskan tahun ini.

"Kontraktor terbabit diwajibkan untuk menyiapkan kerja mengikut tempoh masa yang ditetapkan," katanya.

Menurutnya, pembaikan kecil itu melibatkan kerosakan pada kemudahan-kemudahan pada sekolah seperti lantai, tandas, meja, lampu, serta sebagainya. Senarai sekolah terbabit sudah ada dan peruntukan akan disalurkan berdasarkan sekolah sudah dikenal pasti.

  • oleh
  • Advertisement