Anda di sini

Rogol: Anak beranak kena penjara maksimum, dua sebat

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang ayah dan anak lelakinya dikenakan penjara selama 30 tahun dan dua sebat, setelah didapati bersalah merogol seorang kanak-kanak perempuan dipercayai anak keluarga angkat mereka.

Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap kedua-dua tertuduh semalam, setelah perbicaraan penuh dijalankan.

Semasa menyampaikan keputusannya, beliau berkata mahkamah mengambil kira keseriusan kesalahan dan umur mangsa, selain perhubungan antara kedua-dua tertuduh dengan mangsa.

Tertuduh iaitu ayah yang berusia 58 tahun, merogol mangsa berusia 12 tahun di sebuah rumah kampung di daerah Papar, sekitar April 2017.

Sementara anaknya berusia 37 tahun, merogol mangsa yang sama pada tengah malam sekitar Mac 2017, di tempat sama.

Mereka disabitkan mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tempoh selama 30 tahun dan sebat.

Semasa rayuan, peguam Luke Ressa Balang berkata, kedua-dua tertuduh pesalah pertama dan mereka merupakan sumber ekonomi kepada keluarga masing-masing.

Menurutnya, tertuduh pertama mempunyai penyakit tiroid dan isteri tertuduh kedua tidak bekerja yang mana perlu menanggung tiga anak mereka yang berusia antara 2 hingga 12 tahun.

Beliau juga memohon hukuman pemenjaraan kedua-dua anak guamnya dikira dari tarikh tangkap.

Namun Timbalan Pendakwaraya Mahathir Megat Tharih Affendy menegaskan, kes berkenaan menjalani perbicaraan penuh dan umur mangsa harus diambil pertimbangan.

Katanya, hukuman berat harus dijatuhkan supaya memberikan pengajaran kepada setiap tertuduh dan orang awam.

Noor Hafizah memerintahkan tempoh pemenjaraan kedua-dua tertuduh dikira dari tarikh tangkap, pada 9 dan 12 Februari tahun lalu.

Sepanjang prosiding perbicaraan dijalankan, pihak pendakwaan dan pembelaan masing-masing memanggil enam dan empat saksi.

Luke turut dibantu peguam Farazwin Haxdy.

-tamat.

  • oleh
  • Advertisement