Anda di sini

Protes antikerajaan memuncak di Iraq, sembilan maut

Advertisement
 Seorang lelaki mengangkat rakannya yang cedera ketika protes untuk mengecam rasuah, perkhidmatan awam yang gagal dan pengangguran di Baghdad, Iraq kelmarin. — Gambar Reuters
PROTES: Seorang lelaki mengangkat rakannya yang cedera ketika protes untuk mengecam rasuah, perkhidmatan awam yang gagal dan pengangguran di Baghdad, Iraq kelmarin. — Gambar Reuters

BAGHDAD: Protes umum memuncak di seluruh Iraq kelmarin ketika ribuan penunjuk perasaan tidak mempedulikan peluru hi-dup dan gas pemedih mata dalam rapat umum yang mengorbankan sembilan orang dalam tempoh 24 jam.

Penunjuk perasaan me-nimbulkan cabaran besar yang pertama kepada Perdana Menteri Adel Abdel Mahdi, yang sudah membentuk kerajaannya selama setahun pada bulan ini dan menimbulkan kontroversi apabila dia menyalahkan “anarkis” di kalangan penunjuk perasaan bagi keganasan yang berlaku.

Sejak ia meletus di Baghdad pada Selasa lepas, ia sudah menular ke kota-kota lain di selatan negara, di mana orang ramai mengecam gejala rasuah dalam kerajaan, perkhidmatan awam yang gagal dan pengangguran.

Kelmarin, lima penunjuk perasaan dan seorang anggota polis mati ditembak di kota selatan Nasiriyah, kata seorang pegawai kesihatan wilayah kepada AFP.

Ini menjadikan bilangan kematian dalam protes itu sebanyak sembilan, termasuk seorang penunjuk perasaan yang maut di Nasiriyah pada Selasa lepas dan dua lagi dalam demonstrasi besar di Baghdad yang berakhir dengan keganasan.

Di ibu negara kelmarin, polis rusuhan cuba meleraikan orang ramai di enam kawasan kejiranan dengan melepaskan gas pemedih mata dan peluru hidup ke udara.

Penunjuk perasaan berkumpul semula dan cuba berarak ke Dataran Tahrir yang ikonik di Baghdad buat hari kedua, tetapi polis sudah menutup kawasan tersebut.

Lewat kelmarin, kendera-an tentera dan pasukan ke-selamatan turut dikerahkan ke sekitar Zon Hijau, yang menempatkan kedutaan dan bangunan kerajaan.

Akses ke kawasan tersebut akan ditolak sepenuhnya “sehingga notis selanjutnya”, kata sumber kerajaan kepada AFP.

Zon Hijau tidak diakses oleh kebanyakan warga Iraq sejak serangan perikatan Amerika Syarikat ke atas Iraq pada 2003 tetapi dibuka semula kepada orang awam pada Jun lalu.

Ia kerap menjadi tumpuan bagi kemarahan orang awam, termasuk pada 2016 apabila penyokong ulama lantang Moqtada Sadr menyerbunya dan melumpuhkan institusi kerajaan.

Pada lewat kelmarin, Sadr mengumumkan “protes aman dan mogok umum”.

Di tengah-tengah kebimbangan mengenai protes selanjutnya, Abdel Mahdi mengarahkan perintah berkurung dilaksanakan di Baghdad selepas pihak berkuasa Iraq mengumumkan Khamis adalah hari cuti umum.

Perintah berkurung ke atas “kenderaan dan orang ramai di Baghdad” berkuat kuasa pada jam 5 pagi waktu tempatan semalam.

Perintah berkurung sudah dilaksanakan di dua kota, Nasiriyah, dan kota suci Najaf, selepas protes meletus.

Di kawasan kejiranan Zaafaraniya di selatan Baghdad, penunjuk perasaan membakar tayar di jalan-jalan yang dibarisi kenderaan polis.

“Kami mahukan pekerjaan dan perkhidmatan awam yang lebih baik. Kami sudah bertahun-tahun menuntutnya dan kerajaan tidak pernah bertindak,” kata Abdallah Walid, 27.

Wartawan yang membuat liputan mengenai protes di tengah Baghdad berkata pasukan keselamatan telah menyerang mereka dan menahan salah seorang rakan sekerja mereka.

“Tidak ada kerajaan yang akan menyerang rakyatnya sendiri seperti ini. Kami bersikap aman, tetapi mereka melepaskan tembakan,” kata graduan yang menganggur Mohammad Jubury di daerah berhampiran Al-Shaab.

Kira-kira 60 orang cedera di Baghdad kelmarin, termasuk sembilan yang terkena peluru dan mangsa lain yang terhidu gas pemedih mata, kata sumber perubatan.

Selain Baghdad dan Nasiriyah, orang ramai juga berhimpun di Najaf dan kota selatan Basra, yang digegarkan oleh protes pada tahun lepas.

Walaupun selepas protes pada Selasa lepas di Baghdad berjaya dileraikan, tembakan masih kedengaran sehingga larut malam, termasuk dalam daerah Kota Sadr, di mana satu pengebumian diadakan bagi penunjuk perasaan yang terbunuh di ibu negara.

Seorang lagi penunjuk perasaan yang cedera di ibu kota pada Selasa lepas meninggal dunia akibat ke-cederaan yang dialaminya kelmarin.

Ia tidak jelas sama ada peluru itu dilepaskan terus ke arah penunjuk perasaan atau ke udara.

Pertumpahan darah pada Selasa lepas mengundang kecaman daripada Presiden Barham Saleh, yang menuntut “kesabaran dan penghormatan kepada undang-undang”.

“Protes aman merupakan hak yang diberikan oleh perlembagaan kepada warga negara,” katanya. — AFP

Advertisement