Anda di sini

Pemuda dipenjara 30 bulan, curi peralatan, perabot rumah

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang pemuda dikenakan penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majiistret di sini semalam, atas kesalahan mencuri sebanyak 24 item peralatan dan perabot rumah.

Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhkan hukuman itu terhadap Chong Yun Khen selepas mengaku salah mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Hukuman yang diperuntukkan, penjara selama tempoh 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Chong mencuri 24 item antaranya satu unit pagar besi, tiga penyaman udara, sebuah televisyen, katil, almari dan satu set meja makan.

Kesalahan didapati dilakukan sekitar September di sebuah taman perumahan di Penampang.

Berdasarkan fakta kes, pada 28 September jam 10 malam, pengadu bersama isterinya pergi ke rumah berkenaan, namun mendapati pagar rumah hilang.

Namun mereka tidak melakukan sebarang pemeriksaan di kawasan kerana takut dan khuatir dengan keselamatan diri.

Pada keesokan hari jam 7 pagi, pengadu kembali semula ke rumah terbabit dan menemukan banyak barang dan peralatan rumah yang hilang.

Semasa rayuan, Chong  yang berusia awal 20-an tidak diwakili peguam meminta supaya hukumannya diringankan.

Stephanie memerintahkan tempoh pemenjaraan tertuduh dikira dari tarikh tangkap.

Pegawai Pendakwa Insp Suzie@ Stephanie Kupit mewakili pihak pendakwaan.

  • oleh
  • Advertisement