Anda di sini

Pemahaman tentang kebudayaan Jepun menerusi JFF, kini di GSC

Advertisement
 Abdul Karim (dua kanan) menunjukkan isyarat bagus bersama Ichikawa (dua kiri) dan Sharkawi selepas perasmian JFF 2019 kelmarin. Turut kelihatan Pengarah JFKL, Seiya Shimada (kanan).
TERBAIK DARI JEPUN: Abdul Karim (dua kanan) menunjukkan isyarat bagus bersama Ichikawa (dua kiri) dan Sharkawi selepas perasmian JFF 2019 kelmarin. Turut kelihatan Pengarah JFKL, Seiya Shimada (kanan).

KUCHING: Tayangan filem di Festival Filem Jepun (JFF) ke-16 2019 mempromosikan persefahaman kebudayaan antara Malaysia dengan negara Jepun selain membantu Sarawak dalam memajukan sektor pelancongan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pemahaman tentang kebudayaan Jepun boleh dipelajari menerusi tayangan filem mereka di Golden Screen Cinemas (GSC) CityOne Megamall, bermula semalam sehingga 6 Oktober.

“JFF anjuran The Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL) diadakan setiap tahun di Sarawak kini memasuki tahun kelapan dan menghiburkan ramai peminat tempatan serta pelancong luar yang datang ke sini,” katanya ketika merasmikan JFF 2019 di GSC CityOne Megamall di sini, malam Rabu.

Beliau turut menjelaskan kepentingan penganjuran festival kebudayaan, kesenian dan muzik yang banyak membantu menyatukan ramai orang dari pelbagai negara dan latar belakang berdasarkan minat sama.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada JFKL atas penganjuran JFF 2019 dan memuji usaha Mitsubishi Corporation dan GSC yang bergiat secara aktif melakukan pertukaran kebudayaan antarabangsa.

 

The Japan Foundation yang berpusat di Kuala Lumpur menyambut ulang tahun mereka ke-30 menganjurkan JFF 2019 bersama pihak Mitsubishi Corporation.

Menurut Pengarah JFKL, Seiya Shimada, JFF 2019 menayangkan barisan filem pelbagai genre yang sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

“Tahun ini, sebanyak 13 filem Jepun merangkumi judul terkini dan tersohor daripada pelbagai genre seperti kekeluargaan, muzik dan komedi akan ditayangkan dalam JFF 2019.

“Tayangan perdana di rantau Asia Tenggara bagi filem ‘Little Nights, Little Love,’ filem arahan Imaizumi Rikiya, diadakan secara eksklusif pada 3 September lalu di Kuala Lumpur sedangkan filem ini hanya ditayangkan di pawagam Jepun pada 20 September.

“Tiga filem bertemakan muzikal berjudul ‘Farewell Song,’ ‘La La La at Rock Bottom’ dan ‘Little Love Song’ juga ditayangkan untuk penggemar filem muzikal,” ujar Seiya.

Pada masa yang sama, Ketua Eksekutif Malaysia merangkap Pengurus Besar Cawangan Kuala Lumpur, Mitsubishi Corporation Genichi Ichikawa percaya bahawa hubungan Mitsubishi Corporation dengan Malaysia adalah penting dan merupakan aset bernilai bagi kedua belah pihak.

“Hubungan Mitsubishi Corporation dengan Sarawak bermula sejak 1978 dengan penggabungan LNG Malaysia Sdn. Bhd bersama kerajaan negeri, Petronas dan Shell.

“Dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pula, Mitsubishi Corporation berkolaborasi dengan Sarawak Biodiversity Centre sejak 2012 dalam meneroka ‘microalgae,’” ujar beliau sambil menambah, Mitsubishi Corporation sudah menanam lebih daripada 800,000 pokok di Sarawak di bawah projek pemulihan hutan mereka di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, Sharkawi Amit.

  • oleh
  • Advertisement