Anda di sini

Lelaki dilepas tanpa dibebaskan tuduhan kesalahan seksual

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap adik iparnya.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim membuat keputusan itu terhadap tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Yang mana dihukum mengikut Seksyen 16 (1) akta sama, memperuntukkan penjara selama tempoh 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyentuh mana-mana bahagian tubuh mangsa seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan empat bulan, bagi maksud seksual.

Kesalahan dilakukan pada 4 Ogos di sebuah rumah kampung tidak bernombor di Penampang.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Nur Faezah Jafry menyatakan pihaknya dimaklumkan bahawa pengadu iaitu ibu mangsa ingin menarik laporan terhadap tertuduh.

Beliau juga memberitahu mendapat arahan untuk memanggil pengadu dan mangsa untuk hadir di mahkamah berhubung dengan perkara terbabit.

Dalam pada itu pengadu dan mangsa hadir di mahkamah semalam dan prosiding dijalankan secara tertutup.

Tertuduh yang didakwa pada 26 Ogos atas kesalahan itu mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 dicagarkan dua penjamin tempatan.

Sementara itu Noor Hafizah juga mengarahkan sejumlah ikat jamin berkenaan dikembalikan kepada tertuduh.

  • oleh
  • Advertisement