Anda di sini

Didenda RM2,300 gara-gara curi telefon RM330

Advertisement

KUCHING: Seorang lelaki bekerja sendiri didenda RM2,300 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda selepas mengaku bersalah mencuri telefon bimbit bernilai RM330 pada 24 April lalu.

Majistret Nuruhuda Mohd Yusof menjatuhkan hukuman sedemikian terhadap Mohd Azharudin Abdullah, 31, memandangkan tertuduh merupakan pesalah kali pertama selain berpuas hati mendengar penghujahan daripada peguam tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri sebuah telefon bimbit berharga RM330 daripada seorang pelajar lelaki yang mengiklankan produk tersebut di laman sesawang Facebook.

Tertuduh berurusan untuk berjumpa dengan pelajar itu dan mereka bertemu pada April lepas, jam 1.10 pagi di Wisma Satok.

Ketika kejadian, tertuduh berpura-pura mahu memeriksa telefon bimbit berkenaan, namun sejurus telefon tersebut diserahkan kepadanya, tertuduh terus melarikan diri ke seberang jalan.

Pelajar berkenaan cuba untuk mengejar tertuduh tetapi gagal.

Akibat perbuatan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh melalui peguamnya, Abdul Rahman Mohamad Hazmi merayu kepada mahkamah agar tidak menjatuhkan hukuman penjara kerana dia perlu menjaga anaknya yang berusia tiga tahun memandangkan isterinya sedang sarat mengandung dan akan bersalin tidak lama lagi.

“Anak guam saya juga tidak mempunyai pekerjaan tetap. Dia hanya bergantung kepada kerja yang ditawarkan oleh rakannya dan gaji yang diperoleh tidak mampu menanggung sewa rumah serta keperluan asas.

“Dia menyesali perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut,” ujar Abdul Rahman kepada mahkamah ketika rayuan pengurangan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.

  • oleh
  • Advertisement