Anda di sini

Bakal pembeli rumah diminta manfaatkan HOC

Advertisement
 Adam (dua kanan), Simon (tiga kanan) ditemani ahli jawatankuasa SHEDA Miri melihat pameran selepas perasmian jerayawara di Bintang Megamall semalam.
REBUT PELUANG: Adam (dua kanan), Simon (tiga kanan) ditemani ahli jawatankuasa SHEDA Miri melihat pameran selepas perasmian jerayawara di Bintang Megamall semalam.

MIRI: Bakal pembeli rumah digalak memanfaatkan sepenuhnya tempoh pengecualian duti setem dalam Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang ditawarkan sehingga 31 Disember ini.

Pengerusi penganjur jerayawara Hartanah dan Kediaman Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) cawangan Miri, Simon Tiong berkata, kempen terbuka kepada rakyat Malaysia tanpa mengehadkan jumlah unit rumah yang ingin dimiliki.

 Bagaimanapun diskaun hanya untuk pembeli hartanah daripada pemaju yang didaftarkan dengan SHEDA, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sabah (SHAREDA).

“Saya menggalak  bakal pembeli untuk mengambil peluang semasa jerayawara ini untuk membeli kediaman baharu anda dengan menikmati potongan 10 peratus dan penjimatan besar dari pengecualian duti setem,” tambahnya.

Kerajaan pusat bersetuju untuk meneruskan tempoh pengecualian ini dari 1 Julai hingga 31 Disember untuk menggalakkan peningkatan jumlah pemilikan rumah di kalangan rakyat.

Kempen mengurangkan kos pemilikan rumah ini diharap membantu mengurangkan bilangan jumlah yang tidak terjual.

Simon berkata, aktiviti itu peluang untuk pemaju menerangkan tentang kempen yang masih kurang diketahui umum.

Menurutnya, pemaju telah menyediakan banyak pilihan dalam pasaran yang terletak kepada masyarakat untuk memanfaatkan peluang yang ditawarkan.

Tentang aktiviti itu, ia dianjurkan di pusat beli-belah Bintang Megamall bermula semalam hingga Ahad ini.

Sebanyak 26 gerai dari 17 pemaju terlibat dalam pameran ini yang memberi peluang kepada umum untuk membuat pilihan projek perumahan baharu dan peluang tawaran pasaran hartanah pada masa kini.

 Datuk Bandar Adam Yii berkata, industri pembinaan dan perumahan di sini membangun dan berkembang dengan menarik sekali.

Tempoh masa lama diperlukan untuk menjual unit hartanah komersial yang dibina dengan berlebihan dalam tempoh beberapa tahun ini.

Ia sekali gus menggambarkan pasaran hartanah di Miri agak sempit dengan bekalan dan permintaan masih terhad.

Beliau memberitahu, kebanyakan penyewa dan pembeli adalah mereka yang terlibat dalam industri berkaitan gas dan minyak.

“Untuk sektor kediaman, ia terus menerajui pasaran tetapi kekal perlahan pada tahun ini. Pemilikan rumah tetap menjadi kebimbangan besar melihat kepada inisiatif kerajaan negeri untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat serta rancangan untuk memberi subsidi 1/3 kos perumahan mampu milik,” jelas Adam.

Sikap tunggu dan lihat di kalangan rakyat juga antara faktor pasaran rumah adalah perlahan.

Sehubungan itu, Adam mahu lebih banyak jerayawara perumahan dan hartanah dianjurkan di sini bertujuan memperkasakan pembangunan ekonomi Miri.

Pembabitan aktif SHEDA telah menyediakan landasan kepada rakyat untuk memilih dan membeli kediaman sendiri.

Advertisement