Anda di sini

Siti Nurhaliza antara peserta kayuhan santai Avillion Coastal Ride 2019, Ahad ini

Advertisement
SITI NURHALIZA
SITI NURHALIZA

PENYANYI tersohor tanah air Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin antara 1,600 peserta yang mengesahkan penyertaan dalam program kayuhan santai Bank Mualamat Avillion Coastal Ride 2019, pada Ahad ini.

Beliau dijangka menyertai kategori kayuhan santai sejauh 30 kilometer (km) yang bermula dari Avillion Admiral Cove di Port Dickson dan melalui Politeknik Port Dickson-pintasan Teluk Kemang-Jalan Sri Rusa-Jalan Pantai dan berakhir di hotel berkenaan.

Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Kumpulan Hotel Avillion Helen Tan  berkata, program kayuhan yang memasuki edisi ketiga penganjurannya sejak dimulakan pada 2017, setakat ini mendapat sambutan menggalakkan, termasuk daripada peserta Singapura.

“Terdapat tiga kategori iaitu 160km, 80km dan 30km.  Program ini telah berjaya pada masa lepas yang menarik ribuan peserta menyertainya. Tahun lepas, seramai 1,200 peserta menyertainya.

“Selain kayuhan secara santai itu, ia juga dapat mempromosikan lagi Port Dickson sebagai pusat peranginan. Kita juga bercadang untuk menjadikan acara ini sebagai acara tahunan,” katanya.

Sementara itu, bagi kategori 160km, ia disertai seramai 280 orang peserta, 1,100 peserta (80km) dan 220 peserta (30km).  

Peserta yang menyertainya akan dibekalkan jersi berbasikal, medal, insurans persendirian dan sijil yang dihantar terus ke email mereka selain berpeluang memenangi cabutan bertuah dengan hadiah utama televisyen 48 inci. — Bernama

Advertisement