Anda di sini

Rasuah: Pembantu tadbir LPKP dipenjara dan denda

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam dikenakan penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini semalam, atas kesalahan menerima wang sebanyak RM1,290.

Hakim Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap Roslan Bior, 39, selepas mengaku salah atas pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Jika gagal membayar denda terbabit, mahkamah memerintahkan penjara selama tiga bulan dikenakan terhadap tertuduh yang diwakili peguam Mohd Fauzi Formusa.

Tertuduh sebagai pembantu tadbir di Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), menerima benda berharga tanpa balasan iaitu sejumlah wang terbabit daripada Naimah Makah.

Berkenaan dengan kerja-kerja rasmi, tertuduh terlibat dalam memproses pembayaran dana Interim Stage Bus Support Fund (ISBSF), atas nama syarikat pengangkutan Nursaiful bagi 2016 berjumlah RM12,899.

 Roslan menutup wajahnya ketika keluar dari kamar mahkamah.
TERIMA HUKUMAN: Roslan menutup wajahnya ketika keluar dari kamar mahkamah.

Kesalahan itu dilakukan pada 25 Januari 2017 jam 10 pagi hingga 10.20 pagi di sebuah restoran, Wisma Muis di sini.

Sabit salah, penjara selama tempoh dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, tertuduh juga didakwa secara rasuah memperolehi sejumlah wang terbabit daripada individu sama, bagi tujuan yang sama, pada hari dan di tempat yang sama.

Roslan didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Hukuman yang diperuntukkan, penjara selama 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Semasa rayuan, Mohd Fauzi meminta hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya kerana pengakuan salahnya menjimatkan masa mahkamah.

"Gaji bulanan tertuduh sebanyak RM2,597, setelah ditolak dengan komitmen lain hanya berbaki RM138. Tertuduh juga menanggung seorang isteri yang sedang mengandung, selain dua anaknya, " katanya.

Menurutnya kedua-dua anak tertuduh masing-masing berusia 18 tahun dan empat tahun dan pada masa yang sama, perlu menanggung kedua ibu bapa serta mentuanya.

Ketika disoal Abu Bakar adakah isteri tertuduh mengetahui dirinya dihadapkan di mahkamah, Roslan menjawab dirinya tidak ingin isterinya risau.  

"Saya datang sendiri dan tidak mahu isteri saya sedih kerana sedang mengandung. Beliau juga perlu menjaga orang tuanya yang sedang sakit," katanya sambil menahan tangis.

Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basiruddin dari SPRM meminta hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kepentingan awam dan menjadi pengajaran kepada masyarakat.

"Tindakan tertuduh mencemarkan nama jabatan LPKP yang mana perbuatannya menyalahi undang-undang dan tidak seharusnya berlaku," katanya.

  • oleh
  • Advertisement