Anda di sini

Pemain industri e-dagang mahu insentif tambahan dalam Belanjawan 2020

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemain industri e-dagang mahukan insentif tambahan dalam Belanjawan 2020 untuk membantu kerajaan mencapai sasaran pertumbuhan e-dagang sebanyak 20.8 peratus kepada RM170 bilion tahun depan.

Tokokan nilai dan sumbangan industri itu kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara terus meningkat dalam tempoh tujuh tahun kepada RM85.8 bilion pada 2017 daripada RM37.7 bilion pada 2010, dengan purata kadar pertumbuhan tahunan 12.5 peratus.

Pengurus Besar Negara Shopback Malaysia, Eddy Han berkata platform cashback (pulangan tunai) itu berharap penggubal dasar boleh memberikan pelepasan cukai setahun kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memulakan operasi dalam talian buat pertama kalinya, bagi membantu mereka mengekalkan perniagaan mereka dengan melabur dalam latihan, pemasaran dan tenaga kerja.

“Insentif tambahan sebagai contoh pelepasan cukai tiga tahun juga boleh dipertimbangkan bagi PKS yang menjual produk keluaran tempatan,” katanya kepada Bernama.

Han berkata juga penting untuk menyediakan insentif bagi penghantar barangan seperti pelepasan cukai jalan, subsidi petrol dan penyenggaraan motor percuma kerana industri e-dagang telah mewujudkan banyak pekerjaan penghantaran terutamanya dalam logistik serta makanan dan minuman.

Pada masa yang sama, perkhidmatan penghantaran barangan yang memudahkan pengguna juga menggalakkan lebih ramai orang untuk mencuba membeli-belah dalam talian.

“Bagaimanapun, disebabkan penggunaan tinggi kenderaan bagi tujuan penyerahan barangan, penghantar terpaksa menanggung kos penyenggaraan tinggi seperti petrol dan servis secara tetap yang menyukarkan mereka untuk memperoleh pendapatan mampan,” katanya.

Han juga melihat kepentingan untuk memperkenalkan insentif hijau khas bagi penyedia perkhidmatan logistik yang mengguna pakai penyelesaian pembungkusan mesra alam serta pemilik perniagaan e-dagang yang memilih untuk mendapatkan khidmat daripada syarikat tersebut.

“Orang ramai telah menyuarakan kebimbangan mereka tentang sisa lebihan pembungkusan memandangkan perkembangan pesat pertumbuhan e-dagang di negara ini. Bahan seperti pembungkus gelembong, plastik dan pita pembalut boleh mengambil masa beratus-ratus tahun untuk terurai dan akan menghasilkan gas toksik sekiranya dibakar.

“Insentif hijau itu akan membantu mengurangkan kos operasi dengan menggunakan pembungkusan mesra alam dan menggalakkan penyedia perkhidmatan logistik serta pemilik perniagaan e-dagang mengguna pakai penyelesaian hijau,” katanya.

Shopee, platform e-dagang utama di Asia Tenggara dan Taiwan mencadangkan kepada kerajaan untuk memperuntukkan pembiayaan kepada pemain sepertinya, yang mempunyai program pendidikan sedia ada untuk meningkatkan pindahan pengetahuan mengenai e-dagang.

Pengarah Urusan Serantaunya, Ian Ho berkata, sebagai balasannya, Shopee berjanji untuk menyediakan sokongan tenaga kerjanya bagi program-program ini.

“Menerusi sesi-sesi ini, kami akan menumpukan kepada pindahan pengetahuan mengenai barang dagangan, pembungkusan, pemasaran, perkapalan, keselamatan, perkhidmatan sebelum, semasa dan selepas jualan dan perkhidmatan pelanggan.

“Ini akan membantu syarikat tempatan menyediakan amalan e-dagang terbaik. Langkah ini penting dalam melindungi ekonomi domestik kerana sekiranya kadar penggunaan e-dagang oleh pengguna lebih pantas daripada kadar penggunaannya oleh PKS, pembeli mungkin akan membeli produk yang sama daripada peniaga asing,” katanya.

Selain itu, Shopee juga berharapkan pembentukan dasar untuk menggalakkan pembangunan industri yang menyokong e-dagang termasuk industri logistik pihak ketiga yang dinamik, yang akan meningkatkan lagi kecekapan penghantaran akhir serta memendekkan masa menunggu pelanggan daripada tiga hingga lima hari kepada keesokan harinya hingga dua hari selepas membuat pembelian.

Satu lagi isu mencabar yang dihadapi industri adalah masalah get laluan pembayaran berikutan teknologi yang ketinggalan zaman dan lebar jalur terbatas yang menyebabkan gangguan.  

“Sebagai platform membeli-belah dalam talian, ini akan memberi kesan kepada perniagaan terutamanya semasa kempen besar kami seperti kempen ‘9.9 Super Shopping Day’ yang berakhir baru-baru ini. Pada 9 September, pada satu ketika, sejumlah 187,606 barangan dijual dalam masa seminit.

“Berdepan masalah ini adalah sangat mengganggu dan memberi kesan negatif kepada peruncit. Selain itu, ia akan memberikan pengalaman kurang menyelesakan kepada pembeli yang seterusnya menghalang penggunaan e-dagang bukan hanya kepada pengguna tetapi juga peruncit kerana ia menjejaskan aliran penawaran-permintaan bagi dagangan dalam talian,” kata Ho.

Justeru itu, Shopee berharap kerajaan juga akan melabur untuk meningkatkan dan menaik taraf prasarana perbankan Malaysia, terutamanya sistem pembayaran untuk menyokong urus niaga dalam talian.

Pemain pasaran e-dagang yang juga pendatang baharu dalam industri, LamboPlace berkata ia berharapkan pelaburan dan program yang boleh membantu mempercepat penggunaan teknologi baharu, dengan usaha berterusan untuk menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI), data raya, automasi dan robotik dalam kalangan syarikat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Jason Yap pengenalan Dana Transformasi Pendigitalan Industri adalah langkah yang tepat pada masa ketika perniagaan tempatan mula menggunakan data dalam usaha transformasi digital mereka.

Semasa Belanjawan 2019, RM3 bilion diperuntukkan bagi dana tersebut di bawah Bank Pembangunan Malaysia Bhd.

Yap juga memuji keputusan kerajaan untuk mengurangkan harga jalur lebar talian tetap dan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) untuk meningkatkan kesalinghubungan internet di kawasan luar bandar, turut dipuji.

Dalam Belanjawan 2019, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi NFCP untuk membangunkan prasarana jalur lebar di seluruh negara.

“Kami berharapkan lebih banyak peruntukan bagi kawasan ini. Kesalinghubungan luar bandar adalah penting kerana ia dapat menghubungkan ke kawasan yang sebelum ini tidak dapat dihubungi. Menerusi langkah ini, kita boleh membantu lebih ramai usahawan dan meningkatkan akses pembeli luar bandar kepada produk dalam talian yang lebih murah dan seterusnya dapat menambah baik kebajikan mereka.

“Belanjawan 2019 mengambil kira perkara-perkara yang dibincangkan di atas dan telah meletakkan Malaysia di landasan yang betul untuk mencapai ekosistem e-dagang yang lebih kukuh dan kami berharap dapat membantu dan menjadi penyumbang kepada transformasi Malaysia menjadi negara digital sepenuhnya,” kata Yap.

Sementara itu, Billplz, platform get laluan pembayaran, mahu kerajaan memacu landskap ‘exit’ (jalan keluar) di negara ini.

“Sekiranya tiada insentif untuk mengambil alih syarikat teknologi baharu, saya menjangkakan lebih ramai orang asing akan datang ke sini dan mengambil alih syarikat-syarikat berjaya,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Nazroof Hakim, sambil menambah kerajaan perlu menubuhkan dana bagi pengambilalihan.

“Malaysia memiliki banyak syarikat pemula niaga tetapi sokongan ‘exit’ tidak mencukupi di negara ini. Jadi kitaran kapitalisme yang terdiri daripada empat tahap daripada pekerja kepada eksekutif peringkat C, kemudiannya menjadi pemilik perniagaan dan akhir sekali, pelabur, tidak begitu banyak berlaku.

“Selepas ‘exit’ berlaku, mereka boleh menjadi pelabur, penasihat atau mentor kepada industri,” katanya.  

Memberi contoh, Nazroof berkata JobStreet, yang diasaskan di Malaysia diambil alih oleh SEEK Ltd dari Australia dan kini merupakan syarikat mencari pekerjaan dalam talian terbesar di Asia Tenggara menyediakan perkhidmatan kepada 11 juta pencari kerja. 

Belanjawan 2020 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 11 Oktober depan. — Bernama