Anda di sini

Korea Utara lancar misil balistik: JCS

Advertisement
 Orang ramai menonton berita mengenai misil balistik Korea Utara yang dipercayai              dilancarkan oleh kapal selam, di stesen kereta api di Seoul, Korea Selatan semalam. — Gambar Reuters
TERKINI: Orang ramai menonton berita mengenai misil balistik Korea Utara yang dipercayai dilancarkan oleh kapal selam, di stesen kereta api di Seoul, Korea Selatan semalam. — Gambar Reuters

SEOUL: Korea Utara melepaskan apa yang kelihatan seperti sebuah “misil balistik yang dilancarkan oleh kapal selam”, kata Seoul semalam, sehari selepas Washington dan Pyongyang mengumumkan mereka akan menyambung rundingan nuklear yang tergendala.

Pyongyang kerap menggabungkan usaha diplomatik dengan langkah ketentera-an, sebagai satu cara untuk mengekalkan tekanan ke atas rakan rundingan, kata peng-analisis, dan mungkin percaya bahawa sistem senjata ini memberikan kelebihan tambahan kepadanya.

Keupayaan misil berasaskan kapal selam yang terbukti akan membawa persenjataan Korea Utara ke tahap baharu, membolehkannya dilepaskan jauh dari semenanjung Korea dan keupayaan “serangan kedua” jika berlaku serangan ke atas pangkalan tentera-nya.

Ketua-ketua Turus Angkatan Tentera (JCS) Korea Selatan berkata ia mengesan misil balistik pada awal semalam yang dilepaskan kira-kira 450 kilometer ke arah timur pada ketinggian maksimum 910 kilometer.

Misil itu “dipercayai salah satu model Pukkuksong”, JCS menyebut dalam satu kenyataan, yang merujuk kepada misil balistik yang dilancarkan oleh kapal selam (SLBM) yang sedang dibuat oleh Korea Utara.

“Tindakan sedemikian oleh Korea Utara untuk meningkatkan ketegangan tidak membantu usaha untuk meredakan ketegangan di semenanjung Korea dan kami menggesanya sekali lagi untuk berhenti serta-merta,” tambahnya.

Korea Utara menjalankan ujian yang berjaya ke atas Pukkuksong-1, juga dikenali sebagai KN-11, pada Ogos 2016 yang terbang sejauh kira-kira 500 kilometer.

Amerika Syarikat (AS) berkata ia sedang memantau situasi di semenanjung Korea.

Salah satu projektil jatuh ke dalam perairan dalam zon ekonomi eksklusif Jepun – lingkaran 200 kilometer di sekeliling wilayah Jepun – kata Tokyo.

“Pelancaran misil balistik melanggar ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kami membantah sekeras-kerasnya dan mengecamnya sekeras-kerasnya,” kata Perdana Menteri Shinzo Abe kepada pemberita.

Korea Utara dilarang daripada melancarkan misil balistik di bawah ketetapan Majlis Keselamatan PBB.

Pelancaran itu dibuat sehari selepas Naib Menteri Luar Korea Utara Choe Son Hui berkata Pyongyang telah bersetuju untuk mengadakan rundingan peringkat kerja dengan Washington pada hujung minggu ini.

Kedua-dua pihak akan mengadakan “hubungan awal” pada Jumaat dan meng-adakan rundingan pada hari berikutnya, Choe menyebut dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea.

Jurucakap Jabatan Negara AS Morgan Ortagus kemudian mengesahkan rundingan berkenaan, yang menurutnya akan berlaku “dalam masa seminggu akan datang”.

“Korea Utara nampaknya mahu menjelaskan pendiri-an rundingannya sebelum rundingan bermula lagi,” kata Harry Kazianis dari Pusat Kepentingan Negara di Washington selepas pelancaran semalam.

Ini bukan kali pertama Korea Utara menyusuli tawaran rundingan dengan ujian senjata.

Pyongyang menguji apa yang ia sebut sebagai pelancar roket “amat besar” pada bulan lepas hanya beberapa jam selepas Choe menge-luarkan satu kenyataan yang menyebut Korea Utara bersedia untuk menyambung rundingan peringkat kerja dengan Washington.

Rundingan antara kedua-dua negara buntu sejak sidang kemuncak kedua antara pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan Presiden AS Do-nald Trump pada Februari lalu berakhir tanpa sebarang perjanjian.

Hubungan pulih pada bulan lepas setelah Trump memecat penasihat keselamatan negaranya, John Bolton, yang dikecam berulang kali oleh Pyongyang sebagai penjaja perang. — AFP

Advertisement