Anda di sini

Kekurangan komponen IBS mungkin jejas pembinaan rumah mampu milik 

Advertisement
Ini adalah artikel kedua daripada rencana tiga bahagian mengenai rancangan kerajaan untuk membina sejuta rumah mampu milik sepanjang satu dekad akan datang seperti yang digariskan dalam Dasar Rumah Mampu Milik Negara.
Sistem rangka kayu yang dipamerkan dalam Galeri Komponen IBS - Gambar CIDB
Sistem rangka kayu yang dipamerkan dalam Galeri Komponen IBS - Gambar CIDB

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam projek perumahan mampu milik negara secara tidak langsung dapat memenuhi sasaran satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun atau 100,000 unit setahun.

Inovasi dalam IBS yang kini melalui proses pendigitalan terutama dalam Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan alat reka bentuk dalam talian akan mempercepatkan lagi tempoh pembinaan rumah  pasang siap dengan kualiti yang lebih baik.

Bagaimanapun, pengeluaran dan pengedaran komponen IBS di Malaysia kini masih tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan  pembinaan negara terutamanya projek rumah mampu milik negara.

Pakar Teknikal di Insitut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM), Prof Ir Dr Zuhairi Abd.Hamid berkata pengeluar IBS tempatan hanya mampu mengeluarkan komponen untuk membina sekitar 25,000 unit rumah setahun.

(CREAM adalah cabang penyelidikan dan  pembangunan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kerja Raya).

"Ini bermakna, mereka hanya boleh membekalkan 25 peratus komponen yang diperlukan di bawah projek rumah mampu milik kerajaan yang disasarkan 100,000 unit setahun, ” katanya kepada Bernama sambil menambah keutamaan perlu diberikan untuk meningkatkan ​​​​ bekalan komponen IBS agar dapat mencapai sasaran kerajaan selari dengan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara  (DRMM).

PENGELUARAN IBS PERLU DIPERTINGKAT  

Manfaat IBS, antaranya menjamin keselamatan yang lebih baik, kebersihan di tempat pembinaan, mengurangkan tenaga kerja yang akan menjimatkan kos buruh sekitar 45 peratus.

Bayangkan jika kaedah konvensional menggunakan 40 orang tenaga kerja, tetapi melalui penggunaan IBS, hanya tujuh pekerja diperlukan.

Mengambil contoh Singapura, Republik itu berjaya mengurangkan kos pembinaan keseluruhan dengan penggunaan IBS secara meluas di dalam setiap projek perumahan awamnya.

Senario ini sekiranya terus meluas terutama untuk projek swasta yang masih kurang menggunakan IBS,  tidak mustahil kaedah konvensional tidak lagi relevan dengan sendirinya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengeluaran IBS di Malaysia dilakukan melalui  sistem terbuka dan sistem tertutup.

Bagi sistem terbuka, pengeluaran komponen IBS seperti acuan, sistem konkrit pratuang, sistem kerangka besi, sistem blok dan sistem kerangka kayu, kebanyakan dihasilkan dalam kalangan pemain Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Komponen lain yang turut dikeluarkan termasuk kekuda keluli dan bumbung kayu dan pod bilik mandi.

Sistem tertutup pula, kilang-kilang yang akan mengeluarkan keseluruhan komponen IBS yang kini  dimonopoli oleh beberapa pengilang  besar.

"Kini, terdapat kira-kira 274 pengeluar komponen IBS dan 26 pengedar IBS yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB)," kata Zuhairi.

"Usaha perlu dilakukan untuk menambah lebih ramai lagi pengeluar komponen IBS di negara ini. Jika banyak pengeluaran dan pengedaran, harganya akan menjadi lebih kompetitif, “ katanya.

PEMINDAHAN TEKNOLOGI IBS

Menurut Zuhairi,  jika dibandingkan pembinaan rumah kaedah konvensional dengan IBS, kaedah konvensional lebih murah iaitu RM70 satu kaki persegi berbanding RM90 satu kaki persegi bagi IBS.

Namun untuk membinaan projek yang besar, IBS lebih menguntungkan berdasarkan jumlah yang banyak dan berulang, katanya.

“Produktiviti memberi kesan yang sangat ketara antara IBS dengan  kaedah konvensional. Untuk jumlah 100,000 unit setahun jika menggunakan kaedah konvensional memang tidak boleh dicapai tetapi melalui IBS dengan menggunakan mesin dan sebagainya, produktiviti  meningkat tiga kali ganda yang membolehkan sasaran  itu tercapai,” katanya.

Sejajar dengan keperluan ini, CREAM-CIDB menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Gamuda IBS Sdn Bhd yang menitikberatkan penekanan Revolusi Perindustrian keempat (IR 4.0) dengan matlamat meningkatkan produktiviti sektor pembinaan di Malaysia.

Jelas Zuhairi, antara  punca tidak ramai yang berani menjadi pengeluar IBS dan membuka kilang secara besar-besaran adalah disebabkan kos yang tinggi untuk operasi kilang, peralatan, mesin dan logistik.

Bukan itu sahaja, tenaga kerja mahir dan berpengalaman juga diperlukan bagi mengendalikan jentera dan mesin yang canggih, katanya.

Menurut beliau, langkah membawa masuk komponen IBS dari negara luar seperti China mungkin antara kaedah yang dapat memenuhi keperluan IBS untuk pembinaan rumah mampu milik di Malaysia.

Bagaimanapun, Zuhairi mengingatkan sekiranya kerajaan mengambil langkah mengimport IBS, ia sepatutnya disertakan dengan  pemindahan teknologi yang akan memberi manfaat kepada negara dan rakyat dalam masa jangka panjang.

"Sekiranya ada usaha kerjasama antara kerajaan dan syarikat pengeluar IBS dari luar, biarlah ia dilakukan dalam bentuk usaha sama agar pemindahan teknologi dapat dilaksanakan. Ini tentu tidak akan merugikan negara.

“Tapi jika sekadar membawa masuk komponen IBS ke negara ini, ia hanya mampu memenuhi keperluan semasa dengan menyelesaikan isu bilangan yang tidak cukup tetapi amat merugikan kerana kita tidak mendapat teknologi mereka.  Ini hanya akan  menguntungkan satu pihak sahaja,” katanya.

HARUS LEBIH KREATIF

Secara strukturnya pembinaan menggunakan teknik IBS tidak boleh dilakukan renovasi kerana ia boleh melemahkan kekuatan struktur rasuk sesebuah bangunan.

Keadaan ini, pastinya akan menyebabkan ramai bakal pembeli rumah berfikir dua kali untuk membeli rumah yang menggunakan teknologi IBS terutamanya rumah jenis teres, kata Zuhairi.

Bagi rumah bertingkat seperti kondominium dan pangsapuri, penggunaan IBS bukanlah isu yang besar, katanya.

Justeru, tegas beliau arkitek seharusnya pandai bermain dengan kreativiti dan fleksibiliti semasa membuat reka bentuk rumah, bagi mengatasi isu ketidakbolehan renovasi sesebuah rumah. 

Zuhairi yang hampir 20 tahun terlibat dalam bidang penyelidikan pembinaan IBS berkata pemaju perumahan kecil-kecilan mungkin akan terus menggunakan kaedah konvensional kerana kos pembinaan  yang lebih murah.

“Buat apa mereka beralih kepada IBS dan terpaksa menanggung kos yang tinggi kerana skala  projek yang kecil. Jika mereka beralih kepada IBS, 60 peratus harus terus kepada kilang yang membekalkan IBS.

“Tetapi jika dibuat rumah secara konvensional, pemaju boleh ambil keuntungan melalui sub-sub daripada pembekal,” katanya.

Keadaan ini mungkin boleh bertahan pada masa sekarang kerana tenaga buruh masih lagi murah.

"Namun, dalam  tempoh empat atau lima tahun akan datang, apabila kilang IBS telah banyak dan tenaga buruh semakin sukar dan mahal, pemaju kecil ini juga tidak mustahil akan beralih kepada IBS,” katanya.  

PPVC LEBIH MAHAL 

Kerajaan juga secara aktif mempromosikan penggunaan IBS lebih satu dekad lepas. Pada tahun 2008, kerajaan melalui Surat Pekeliling Perbendahaan Bil.7 tahun 2008 telah mewajibkan penggunaan IBS untuk projek-projek kerajaan bernilai RM10 juta dan ke atas dengan minimum 70 skor IBS.

 Kini, pelaksanaan teknologi IBS dalam sektor awam ialah sekitar 78  peratus manakala di sektor swasta hanya sekitar 31 peratus.

Sebagai usaha meningkatkan skor minimum 50 skor penggunaan IBS dalam projek swasta menjelang 2020, pada Januari 2018, kerajaan mengumumkan projek swasta bernilai RM50 juta dan ke atas diwajibkan menggunakan IBS.

Flat pekeliling, Kuala Lumpur, Flat Rifle Range atau Jalan Padang Tembak, Pulau Pinang yang dibina pada tahun 1960-an merupakan pembinaan terawal yang menggunakan IBS dalam industri pembinaan negara. Teknologi IBS dimulakan di Denmark selepas perang dunia kedua. Setelah Eropah musnah, kaedah IBS dilihat paling cepat untuk membangunkan semula penempatan penduduk. 

Singapura yang telah menggunakan teknologi IBS secara meluas sejak tahun 1980-an kini mula beralih ke teknologi pembinaan yang lebih cepat iaitu Prefabricated Pre-Finished Volumetric (PPVC ) atau pembinaan modular. 

Teknologi pasang siap yang lebih çanggih ini datang dalam bentuk satu bahagian contohnya bilik, tandas atau dapur dan bukan lagi komponen-komponen seperti dalam IBS.

Zuhairi berkata, peralihan Malaysia daripada konvensional kepada IBS  bagi rumah mampu milik akan mempercepatkan lagi perkembangan teknologi pembinaan negara.

Katanya tidak mustahil  teknologi PPVC juga akan tiba di Malaysia namun mungkin tidak sesuai untuk perumahan mampu milik kerana kosnya lebih tinggi daripada IBS.

“Pembinaan rumah mampu milik ini akan melonjakkan lagi teknologi. Kita bermula dengan IBS dengan 2D dan sekarang teknologi itu terus berkembang seiring dengan  Revolusi Industri 4.0 yang akan memberi kesan kepada  industri pembinaan negara,” katanya. - Bernama 

Artikel berkaitan: Rumah mampu milik selesa menanti pembeli

  • oleh
  • Advertisement