Anda di sini

Izzue Islam dan kerjaya impiannya dalam telemovie ‘Chef Gangster’

Advertisement
 Izzue Islam dalam salah satu babak telemovie ‘Chef Gangster’ yang akan menemui penonton pada 6 Oktober ini.
JADI CHEF: Izzue Islam dalam salah satu babak telemovie ‘Chef Gangster’ yang akan menemui penonton pada 6 Oktober ini.

MENGGABUNGKAN pelakon-pelakon yang dikenali menerusi watak komedi dalam drama mahu pun filem yang pernah dibintangi mereka, pastinya penonton dijanjikan babak-babak mencuit hati dalam telemovie bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk slot Panggung Ahad.

Menerusi telemovie diberi tajuk ‘Chef Gangster’ yang akan menemui penonton pada 6 Oktober ini, jam 10.00 pagi di TV1, plot kisah komedi arahan Ismail Bob Hashim ini menampilkan Izzue Islam sebagai watak utama menghidupkan sisi cerita dikenali sebagai Fakhrul yang diasuh menjadi gangster sebaliknya bila dewasa dia berminat pula menjadi chef hingga berjaya memenangi pertandingan masakan.  

Saksikan babak komedi lakonan Syuk Sahar, Joey Daud, Ropie, Tengku Hanis dan Siti Chubby ini yang bermula dengan memperkenalkan perjalanan kisah hidup anak seorang ketua gangster yang bernama Fakhrul.

Satu hari oleh kerana terlalu lapar Fakhrul telah tertidur keletihan di atas sofa. Kerana kepenatan dan dalam masa sama dalam keadaan lapar, dia bermimpi belajar memasak makanan kegemarannya. Hakikatnya Fakhrul tidak pernah masuk ke dapur memasak.

Sebaik sedar daripada tidur, Fakhrul cuba mengingati resepi masakan tersebut lalu cuba untuk memasak sendiri resipi yang diperolehi dalam mimpinya.

Dengan usaha kerasnya, Fakhrul berjaya menyiapkan masakan yang enak. Ketika itu, Fakhrul baru menyedari rupanya dia ada bakat menjadi cef yang hebat.

Apabila Fakhrul terbaca iklan pertandingan memasak, dia tanpa berlengah lagi memutuskan untuk menyertainya. Apatah lagi bila mengetahui hadiah yang ditawarkan begitu lumayan.

Lagi pula dia masih mempunyai banyak masa kerana pertandingan tersebut bakal berlangsung dalam masa dua bulan lagi.

Fakhrul cuba menguji kebolehannya dengan memasak nasi goreng untuk dirasa oleh seorang pengusaha restoran dan nasibnya bertuah bila dia berjaya dan diterima bekerja sebagai tukang masak di situ.

Pada masa sama bapa Nana sangat berkenan pada Fakhrul kerana masakannya sedap.

Satu hari, ibu Fakhrul mengajak anak buahnya makan di restoran Nana. Namun alangkah terkejutnya dia apabila melihat Fakhrul adalah tukang masak di situ.

Ibu Fakhrul mengamuk besar dan marah lalu melarang Fakhrul pulang ke rumah mereka.

Fakhrul sedih dengan tindakan ibunya. Dia rasa kecil hati namun dia nekad membuktikan dirinya bakal menjadi chef terkenal.

Situasi itu menjadi pendorong untuk Fakhrul berjaya dalam pertandingan memasak yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Dalam masa yang sama, Fakhrul berusaha memujuk Nana untuk menerima dirinya sebagai kekasih. Ikuti kesudahannya di TV1.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my).

Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Advertisement