Anda di sini

Curi: Dua pelancong Filipina dipenjara

Advertisement

KUCHING: Kerana mencuri barangan kepunyaan penjual sayur pada 24 September lalu, dua pelancong lelaki warga Filipina dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Antonio Manlabao Pericano dijatuhi hukuman penjara 18 bulan, manakala Ranel Platino Lamion dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.

Mereka dikenakan hukuman sedemikian selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Antonio, 47, dikenakan hukuman penjara lebih berat berbanding rakannya yang berusia 41 tahun itu berikutan dia mempunyai rekod lampau, juga melibatkan kes curi.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar mengarahkan agar hukuman penjara berjalan bermula semalam.

“Pasport kedua-dua tertuduh dikembalikan dan selesai menjalani hukuman penjara, mereka akan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” ujar Syukri ketika menjatuhkan hukum.

Kedua-dua tertuduh merupakan pelancong yang memegang pas lawatan sosial selama 30 hari.

Mengikut tuduhan, Antonio yang berasal dari Malapatan dan Ranel yang berasal dari Gingoog didakwa bersama-sama mencuri dokumen, cek dan wang tunai milik Liew Jiew Li, seorang wanita penjual sayur berusia 34 tahun.

Mereka melakukan perbuatan terbabit di gerai sayuran milik mangsa di pasar raya Batu Kawa pada jam 7.10 pagi.

Berdasarkan fakta kes, Antonio berpura-pura membeli sayur sementara rakannya, Ranel mengambil beg mangsa.

Dalam beg berkenaan, terdapat cek berjumlah RM7,136.40, wang tunai berjumlah RM3,000 serta beberapa dokumen penting seperti kad pengenalan, kad bank dan sebagainya.

Akibat perbuatan terbabit, kedua-duanya disabitkan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nelson Ensit manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Lim Lian Kee.

  • oleh
  • Advertisement