Anda di sini

Belanjawan 2020 perlu berpaksikan rakyat, bertumpuan pertumbuhan - IQI Global

Advertisement

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober ini perlu berpaksikan rakyat, bertumpuan pertumbuhan dan dipacu keyakinan, kata Ketua Pakar Ekonomi IQI Global Shan Saeed.

Beliau berkata memandangkan wujudnya ancaman kelembapan global ke atas banyak ekonomi maju, perang perdagangan yang menggangu eksport, peningkatan kos sara hidup serta pendapatan tambahan bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), belanjawan kali ini mungkin menjadi yang paling penting dalam beberapa tahun.

“Ujian sebenar Belanjawan 2020 adalah bagaimana cara kerajaan menangani isu penting ini dan dalam masa sama perlu mengekalkan disiplin fiskal.

“Dengan strategi ekonomi yang berhati-hati, kami mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar antara 4.4 peratus dan 4.9 peratus pada 2020. Inflasi harga dijangka kekal stabil di bawah dua peratus dan defisit belanjawan akan kekal boleh urus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shan turut berharap kerajaan Pakatan Harapan, melalui pembentangan belanjawan keduanya itu (selepas Pilihan Raya Umum ke-14) akan terus mengekalkan dasar monetari cermat, mendorong trajektori ekonomi yang baik serta menyokong sentimen perniagaan di peringkat makro.

“Kami juga berharap kerajaan mencadangkan pembaharuan berstruktur untuk memberi manfaat pertumbuhan ekonomi kepada rakyat keseluruhannya, dan pada masa sama mencatatkan lembaran imbangan yang lebih positif, keteguhan kedudukan fiskal serta lebihan akaun semasa yang kukuh.

“Perang perdagangan menjejaskan perdagangan global namun ia juga satu peluang bagi Malaysia. Sekiranya kerajaan boleh membantu negara menarik elemen rantaian bekalan yang keluar dari China, maka Malaysia boleh meraih manfaat daripada perang perdagangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata pertikaian perdagangan yang berterusan antara Amerika Syarikat dan China, kedua-duanya ekonomi utama dunia, akan menawarkan lebih banyak pekerjaan, memacu inovasi, menjana pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan kemajuan yang dipacu keyakinan.

Shan berkata teras am sewajarnya untuk mengekalkan kekukuhan asas makro yang akan mendorong Malaysia sentiasa menjadi destinasi tumpuan pelabur global bagi jangka panjang.

IQI Global menjangkakan kadar diskaun bergerak antara 2.5 peratus dan 3.0 peratus pada 2020.

IQI Global merupakan agensi hartanah dengan lebih 6,000 ejen di Asia Tenggara, termasuk Malaysia  dan di peringkat dunia. - Bernama 

Advertisement