Anda di sini

Jambatan runtuh di Taiwan, sekurang-kurangnya 14 cedera

Advertisement
 Anggota penyelamat dilihat bersedia untuk membantu mangsa selepas sebuah jambatan runtuh dan menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang cedera di pelabuhan Nanfangao di pantai timur Taiwan semalam. — Gambar Sam Yeh/AFP
RUNTUH: Anggota penyelamat dilihat bersedia untuk membantu mangsa selepas sebuah jambatan runtuh dan menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang cedera di pelabuhan Nanfangao di pantai timur Taiwan semalam. — Gambar Sam Yeh/AFP

TAIPEI: Sebuah jabatan runtuh di timur laut Taiwan semalam mencederakan sekurang-kurangnya 14 orang ketika ia menimpa beberapa kapal nelayan yang berlabuh di bawahnya dan menyebabkan sebuah lori tangki petrol jatuh ke dalam air.

Rakaman CCTV yang dramatik merakamkan saat ketika jambatan satu lengkung sepanjang 140 meter runtuh secara mengejut di Nanfangao, di pantai timur Taiwan.

Lori tangki petrol dapat dilihat hampir berjaya melepasi jambatan, yang menjangkau sebuah pelabuhan perikanan kecil.

Dalam gambar tersebut, jalan raya terputus dan jatuh ke bawah ke atas sekurang-kurangnya tiga bot nelayan di bawah diikuti dengan lori tangki petrol.

Trak itu kemudian terbakar, menyebabkan asap hitam tebal berkepul-kepul ke udara.

Pegawai pengawal pantai berkata, kejadian itu menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang tercedera.

Anggota bomba tempatan menyatakan, pemandu lori tangki minyak petrol adalah antara mereka yang dibawa ke hospital.

Presiden Tsai Ing-wen berkata, satu operasi menyelamat telah dilancarkan  untuk mencari mangsa lain yang cedera atau hilang.

“Kami berharap untuk menyelamatkan kesemua-nya dalam masa paling singkat bagi mengurangkan ke-rugian,” beliau memberitahu wartawan.

Jambatan telah dibina pada 1998 dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Taiwan telah dibadai taufan pada malam kelmarin yang membawa hujan lebat dan angin kuat di beberapa bahagian di pantai timur.

Namun pada masa jambatan itu runtuh keadaan cuaca adalah baik. — AFP

Advertisement