Anda di sini

Guna dadah: Lelaki tempatan dipenjara lima tahun, satu sebat

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan yang pernah disabitkan dengan tiga kesalahan lampau kerana menggunakan dadah, dikenakan penjara lima tahun dan satu sebat.

Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Azlan Ibrahi, 46, yang tidak diwakili peguam selepas mengaku salah.

Mahkamah juga memerintahkan pengawasan polis selama tempoh dua tahun dikenakan terhadap tertuduh setelah selesai menjalani hukuman.

Tertuduh didapati positif menggunakan dadah jenis Methamphetamine, pada 19 Jun tahun lalu jam 12.20 tengah hari di Pejabat Narkorik, Ibu Pejabat Polis Daerah Papar (IPD).

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 39C (1) akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan penjara selama tempoh lima tahun hingga tujuh tahun serta dikenakan tidak melebihi tiga sebat.

Semasa rayuan, Azlan memohon supaya hukumannya diringankan dan dikira dari tarikh tangkap.

Tertuduh juga menyatakan mempunyai seorang isteri dan anaknya masih bersekolah, serta perlu menanggung seorang pakciknya yang sudah lanjut usia.

Namun Timbalan Pendakwaraya Nur Faezah Jafry menegaskan hukuman berat harus dijatuhkan kerana tertuduh seorang pesalah berulang.

Mahkamah memerintahkan tempoh pemenjaraan tertuduh dikira dari tarikh sabitan.

  • oleh
  • Advertisement