Anda di sini

Cukai digital: Pendaftaran syarikat luar negara dibuka

Advertisement
 Amiruddin (dua, kiri) beramah mesra bersama para peserta selepas merasmikan Kem Cerdik Cukai 2019 di Akademi Percukaian Malaysia, Bandar Baru Bangi semalam. — Gambar Bernama
RAMAH MESRA: Amiruddin (dua, kiri) beramah mesra bersama para peserta selepas merasmikan Kem Cerdik Cukai 2019 di Akademi Percukaian Malaysia, Bandar Baru Bangi semalam. — Gambar Bernama

BANGI: Proses pendaftaran untuk syarikat penyedia perkhidmatan dalam talian dari luar negara dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dibuka semalam sebagai persediaan ke arah pelaksanaan cukai digital pada tahun depan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata Kementerian Kewangan yakin syarikat asing berkenaan akan memberikan kerjasama untuk mendaftar bagi menjaga reputasi masing-masing.

“Ramai bertanya sama ada syarikat penyedia perkhidmatan dari luar negara secara sukarela akan mendaftar dengan kami dan membayar cukai ditetapkan.

“Nama-nama besar tanpa perlu saya nyatakan di sini, ia merupakan publisiti buruk bagi mereka jika mereka tidak mendaftar di sini di negara kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Cerdik Cukai di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Datuk Seri Sabin Sabitah dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Mohd Jamil Mohamed.

Menurut Kementerian Kewangan, cukai digital yang akan dikenakan kepada pengguna e-dagang bermula 1 Januari 2020 itu bertujuan untuk mewujudkan persaingan yang adil dalam sektor digital.

Amiruddin berkata pendaftaran oleh syarikat yang memenuhi kriteria tertentu dengan Jabatan Kastam itu penting bagi membolehkan mereka terus menawarkan perkhidmatan kepada pengguna di Malaysia selepas pelaksanaan cukai itu dikuatkuasakan.

Dalam pada itu, Amiruddin berkata kementerian yakin sasaran kutipan cukai sebanyak RM150 bilion yang ditetapkan kepada LHDNM tahun ini mampu dicapai berdasarkan perkembangan kutipan semasa ketika ini.

“Walaupun sasaran boleh berubah berdasarkan situasi tertentu tetapi buat masa ini LHDNM berada di landasan yang betul, kutipan adalah sedikit tinggi berbanding RM137 bilion yang dikutip tahun lepas,” katanya.

Mengenai program Kem Cerdik Cukai, Amiruddin berkata ia satu platform terbaik membentuk generasi muda agar celik cukai, memahami kepentingan cukai dan keperluannya sekaligus tahu menunaikan tanggungjawab masing-masing apabila memasuki alam pekerjaan atau dunia perniagaan kelak.

Dianjurkan bersama oleh LHDNM dan KPM, program yang memasuki kali kesembilan penganjuran itu melibatkan penyertaan 92 pelajar tingkatan enam dari seluruh negara dan 30 guru pembimbing, dan berlangsung selama lima hari di Akademi Percukaian Malaysia di sini. — Bernama

Advertisement