Anda di sini

Lindungi peserta, pekebun kecil sawit

Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyaluran kembali kutipan cukai keuntungan luar biasa dalam bentuk dana kepada industri sawit merupakan antara perkara yang diharapkan dapat dipertimbangkan kerajaan menerusi Belanjawan 2020, menurut Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA).

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nageeb Wahad berkata selain itu pihaknya memohon agar kerajaan membenarkan pengambilan lebih banyak pekerja asing bertujuan mengoptimumkan hasil sawit di samping menyeragamkan cukai penilaian hartanah yang ditanggung pihak perladangan.

Beliau berkata kesemua itu amat diharapkan demi melindungi kesejahteraan industri sawit negara serta 650,000 pekebun kecil malah pada masa sama meningkatkan hasil negara daripada sektor pertanian.

“Sejak pengenaan cukai keuntungan luar biasa ke atas industri ini pada 1 Julai, 2008, syarikat perladangan sawit telah membayar antara RM6 bilion dan RM7 bilion kepada kerajaan.

“Cukai berkenaan terus pergi ke akaun kerajaan. Sebagai contoh, pada 2017 sahaja, apabila harga minyak sawit meningkat sehingga RM2,800 satu tan secara purata, industri ini membayar RM1.2 bilion kepada kerajaan,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama.

Beliau berkata berdasarkan ketidaktentuan ekonomi semasa, industri ini memahami bahawa tidak wajar untuk meminta kerajaan melaksanakan subsidi atau dana baharu, sebaliknya mencadangkan supaya cukai keuntungan luar biasa yang dikutip itu disalurkan kembali kepada industri.

“Kami telah cuba (memohon) semasa kerajaan terdahulu tetapi kini kami meminta kerajaan semasa untuk mempertimbangkan harapan belanjawan ini,” katanya.

Beliau berkata kutipan cukai keuntungan luar biasa itu juga boleh digunakan untuk menggalakkan mandat biodiesel B10 dan B20 dalam pasaran domestik yang akan membantu meningkatkan penggunaan dalam negara.

Mengenai perkara ini, beliau mencadangkan kerajaan mencontohi langkah Indonesia yang mengenakan cukai AS$50 (bagi setiap tan) ke atas eksport minyak sawit mentah dan AS$30 (bagi setiap tan) terhadap eksport produk minyak sawit diproses.

Hasil daripada levi eksport ini kemudiannya digunakan untuk membiayai program subsidi biodiesel.

“Kita mungkin tidak perlu mengikut kaedah mereka, sebaliknya menggunakan dana yang dikutip daripada cukai keuntungan luar biasa sebagai contoh,” katanya.

Cukai keuntungan luar biasa dikenakan oleh kerajaan ke atas industri tertentu apabila keadaan ekonomi membolehkan industri berkenaan mencatatkan keuntungan melebihi purata.

Pada masa ini, industri sawit di Malaysia tertakluk kepada cukai keuntungan luar biasa, dengan syarikat sawit di Semenanjung Malaysia membayar levi keuntungan luar biasa sebanyak 15 peratus sekiranya harga minyak sawit melebihi RM2,500 satu tan.

Penanam di Sabah dan Sarawak bagaimanapun membayar cukai ini pada kadar lebih rendah iaitu 7.5 peratus sekiranya harga di atas paras RM3,000 satu tan namun perlu akur dengan cukai jualan berasingan sebanyak 7.5 peratus (Sabah) dan lima peratus (Sarawak).

Nageeb berkata MPOA juga berharap kerajaan akan membenarkan dan membantu syarikat perladangan tempatan dalam pengambilan lebih banyak pekerja asing memandangkan penuaian tandan buah segar masih perlu dilakukan secara manual berikutan ketiadaan jentera dan peralatan yang terbukti bersifat ekonomi.

Selain itu, beliau menggesa kerajaan supaya tidak mengenakan sistem levi pelbagai peringkat ke atas majikan.

“Penduduk tempatan terutama generasi muda tidak mahu bekerja dalam industri perladangan...mereka menganggap industri ini sebagai industri 4D -- bahaya, sukar, kotor dan merendahkan martabat.

“Jadi, walaupun kami menyediakan semua keperluan seperti rumah, bekalan air dan elektrik, pengangkutan serta minyak masak dan beras, kami masih tidak dapat menarik rakyat Malaysia, susulan itu kami tidak mempunyai pilihan selain mengupah tenaga kerja asing,” katanya.

Nageeb berkata ketika ini 85 peratus pekerja industri perladangan ialah pekerja asing dan sebahagian besarnya dari Indonesia.

Pekerja dari Bangladesh, Nepal, India dan Myanmar juga dapat menyesuaikan diri secara baik dengan industri ini.

Beliau berkata jumlah ini semakin meningkat tahun demi tahun manakala kekurangan pekerja menyebabkan kerugian hasil sebanyak sekurang-kurangnya 10 peratus sekali gus menjejaskan kos dan keuntungan syarikat.

“Kira-kira 50 peratus kawasan perladangan Malaysia terletak di Sabah dan Sarawak, dan di negeri ini, kekurangan tenaga kerja adalah jauh lebih buruk, yang boleh mengakibatkan kerugian hasil sebanyak 20 peratus daripada hasil berpotensi,” katanya.

Sementara itu, bagi harapan terakhir MPOA, beliau menggesa kerajaan menyeragamkan cukai penilaian hartanah di semua negeri.

“Cukai yang dikutip di setiap negara perlu diseragamkan dan bukannya satu negeri mengenakan lima peratus dan negeri lain pula 10 peratus. Kami sedia untuk membayar cukai berkenaan tapi tetapkanlah cukai yang seragam dan jumlah cukai yang munasabah,” katanya.

Pada masa ini, sektor perladangan sawit tempatan dikenakan beberapa cukai termasuk cukai korporat, levi keuntungan luar biasa, cukai penilaian hartanah, duti eksport ke atas MSM, cukai bagi penyelidikan dan pembangunan, pengawalseliaan dan promosi, levi pekerja asing, cukai jualan Sabah, cukai jualan Sarawak dan cukai tanah Sarawak.

Difahamkan bahawa 35 hingga 40 peratus daripada keuntungan sebelum cukai yang diraih syarikat akan disumbangkan kepada kerajaan sebagai cukai.

MPOA mewakili 18 syarikat perladangan, yang mengusahakan 1.87 juta hektar atau 40 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan perladangan sawit di negara ini.

Ahlinya termasuk syarikat utama sektor perladangan seperti Kuala Lumpur Kepong, FGV Holdings Bhd, Sime Darby Plantation Bhd dan IOI Bhd. — Bernama

Advertisement